top of page

Bumbung diselenggara, Istana Budaya tutup 3 tahun


Istana Budaya
"Ini kali pertama bahagian itu dibersihkan dan melalui kerja penyelenggaraan sejak gelanggang gah tersebut dibuka pada 1999."

Istana Budaya

PUTRAJAYA – Istana Budaya bakal ditutup selama 36 bulan bagi pelaksanaan kerja penyelenggaraan bumbung yang dijadualkan bermula Jun depan.


Ketua Pengarahnya, Zubaidah Mukhtar berkata, ini kali pertama bahagian itu dibersihkan dan melalui kerja penyelenggaraan sejak gelanggang gah tersebut dibuka pada 1999.


“Ikut anggaran Kementerian Kerja Raya yang dipertanggungjawabkan mengendalikan kerja ini, manakala tempoh masa diperlukan adalah sekitar tiga tahun iaitu 36 bulan.


“Perkara ini harus dilaksanakan selepas hampir 24 tahun beroperasi belum pernah lagi kerja penyelenggaraan secara menyeluruh dilakukan pada bahagian penting itu.


“Makluman mengenai perincian penutupan serta perkara lain termasuk perkhidmatan sokongan yang tetap diteruskan boleh diperoleh menerusi laman web rasmi Istana Budaya.


“Mungkin tempohnya agak panjang tetapi kerja ini memang kena dibuat bagi penambahbaikan jangka masa panjang selain faktor keselamatan,” katanya selepas pelancaran Kempen Gerak di sini, semalam.


Hadir sama ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohd. Yusri Mohd. Yusoff.


Katanya, kempen yang bermatlamat menyemarakkan cinta masyarakat terhadap kesenian negara direalisasikan menerusi persembahan jelajah.


Kempen tersebut akan membawa kumpulan kebudayaan ke serata pelosok tanah air bermula di Shah Alam, Selangor yang dijadualkan bermula pada pertengahan tahun ini.


Sementara itu, Zubaidah berkata, jelajah tersebut juga merupakan persembahan yang membawa penggiat seni kepada penonton sekali gus membolehkan orang ramai bagai merasai pengalaman menonton persembahan mega di Istana Budaya.


Mengikut jadual, sebanyak enam pementasan terbitan panggung tersebut bersama empat lagi persembahan luar dapat diadakan di pentas tersebut sebelum kerja penyelenggaraan dimulakan.


“Antaranya adalah Konsert Diraja di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia, diikuti Konsert Sanam Band, tayangan filem cereka Imam dan pementasan Mak Yong Anak Raja Gondang.


“Namun bulan Jun hanya anggaran masa daripada JKR, jika kerja itu dianjakkan ke bulan seterusnya kita mungkin boleh buka pintu lagi. Bahagian lain masih beroperasi seperti biasa.


“Andai sesiapa mahu berhubung dengan jabatan lain di Istana Budaya, tidak menjadi masalah. Boleh saja hubungi pihak diperlukan,” katanya.


Sumber: Kosmo!


6 views
bottom of page