top of page

Buluh ‘pancing’ pekebun kecil getah?

Oleh: Shahrul Nizam Mohammad


BULUH mampu menjadi satu industri berdaya saing yang bernilai tinggi. – GAMBAR HIASAN

MUSIM tengkujuh memberikan banyak cabaran dan dugaan kepada masyarakat di Malaysia. Bagi pekebun kecil getah, musim tengkujuh akan melumpuhkan aktiviti ekonomi kerana air hujan akan merosakkan susu getah yang ditoreh.


Justeru, mereka tidak dapat keluar menoreh sekali gus menjejaskan pendapatan harian. Pendapatan yang diperoleh sebelum musim tengkujuh tidak cukup untuk menampung keperluan dan perbelanjaan semasa musim tengkujuh ekoran kejatuhan harga komoditi tersebut di pasaran dunia.


Sebahagian pekebun kecil getah akan beralih kepada aktiviti lain seperti menuai ubi atau memukat ikan air bah yang boleh membantu menjana pendapatan yang tidak seberapa bagi menampung keperluan makanan sekeluarga.


Lebih memilukan, musim tengkujuh akan menjejaskan persiapan sesi baharu persekolahan kepada anak-anak pekebun kecil getah. Ramai daripada kalangan pekebun kecil getah terpaksa bergelut untuk mencari ikhtiar bagi mendapatkan wang untuk menampung keperluan sesi baharu persekolahan seperti yuran sekolah, buku, alat tulis, dan kelengkapan pakaian sekolah.


Hal yang sama akan lebih dirasai sekiranya anak-anak pekebun kecil getah berjaya melanjutkan pengajian di peringkat universiti sehinggakan ada dalam kalangan mereka yang terpaksa berhutang dan bergadai untuk menampung kos pengajian.


Pekebun kecil sebenarnya kaya kerana mereka memiliki aset yang bernilai iaitu tanah. Namun setiap kali musim tengkujuh tiba, masalah pendapatan akan membebani mereka kerana tanah yang dimiliki tidak dapat diusahakan kerana susu getah alah kepada air hujan.


Langkah kerajaan dalam menyalurkan bantuan berupa Bantuan Musim Tengkujuh kepada pekebun kecil getah amat membantu dalam meringankan beban yang ditanggung. Namun penyelesaian bagi tempoh jangka panjang perlu dikaji agar nasib pekebun kecil getah lebih terbela.


Rezeki musim tengkujuh

Rintihan demi rintihan yang diluahkan oleh pekebun kecil getah yang mengalami tekanan kewangan ekoran kejatuhan harga komoditi itu dan implikasi musim tengkujuh menandakan mereka tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada hasil pendapatan daripada getah.


Sebaliknya, pekebun kecil getah perlu mencari tanaman dan aktiviti alternatif lain yang boleh mengimbangi pendapatan terjejas daripada hasil getah dan yang paling utama alternatif tersebut mestilah boleh diusahakan semasa musim tengkujuh.


Di sebalik masalah ini, Malaysia sebenarnya memiliki khazanah yang sangat bernilai yang masih belum dimanfaat dengan serius iaitu buluh. Sekiranya buluh diterokai potensinya secara menyeluruh, hasilnya mungkin akan memberi kebaikan kepada masyarakat luar bandar terutamanya pekebun kecil getah.


Malangnya buluh dipandang sepi di Malaysia dan buluh hanya digunakan untuk menghasilkan produk-produk tradisi yang bernilai rendah. Industri buluh di Malaysia masih di takuk lama tanpa ada penambahbaikan yang boleh melonjakkan nilai industri buluh negara.


Walhal, di negara luar industri buluh telah mengalami evolusi yang hebat dan mampu menghasilkan produk-produk hiliran yang bernilai tinggi. Inovasi dan kemajuan teknologi dalam industri buluh sedang berlaku dengan rancak di negara-negara luar dan produk-produk berasaskan buluh bernilai tinggi telah dihasilkan.


Sebagai contoh, sudah ada teknologi untuk menghasilkan fabrik yang berkualiti daripada buluh. Fabrik ini kemudiannya digunakan untuk menghasilkan beg dan kasut yang harganya mampu mencecah ribuan ringgit.


Dalam industri pembinaan pula, telah berkembangnya teknologi untuk menghasil engineered bamboo iaitu produk daripada buluh yang lebih keras daripada kebanyakan jenis kayu. Melalui kaedah dan teknologi ini, buluh boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan produk hiliran seperti panel lantai, panel dinding dan rangka tingkap yang bernilai tinggi dan mendapat permintaan tinggi di pasaran global.


Selain itu, engineered bamboo juga boleh digunakan untuk dijadikan perabot yang bermutu tinggi yang boleh dipasarkan dengan harga yang tinggi.


Pengawetan buluh

Kemajuan dan teknologi dalam industri buluh bukanlah sesuatu yang boleh dicapai dalam sekelip mata. Namun jika Malaysia mahu serius dalam industri buluh ini tiada apa yang mustahil tetapi segala usaha mestilah bermula dari sekarang. Pelbagai pihak perlu membuat kajian akan potensi buluh sebagai industri berdaya saing dan bernilai tinggi.


Sekiranya Malaysia mampu merealisasikan industri buluh ini, tempias limpahan ekonomi daripada industri buluh akan dapat dirasai oleh pekebun-pekebun kecil getah sebagai pendapatan tambahan dan sumber pendapatan alternatif semasa musim tengkujuh.


Buluh sememangnya tanaman yang sesuai dengan iklim Malaysia dan tumbuh subur dengan sendirinya di habitat hutan di Malaysia. Telah ada ladang buluh yang diusahakan di Malaysia namun kegunaannya hanya terhad kepada rebung sebagai bahan makanan. Buluh berpotensi untuk ditanam oleh pekebun kecil getah di kebun-kebun getah sebagai tanaman selingan kerana buluh memiliki tempoh matang yang singkat dan hanya memerlukan penjagaan yang minimum.


Andainya industri buluh di Malaysia berkembang pesat dan mampu menghasilkan produk-produk yang bernilai tinggi, permintaan terhadap buluh akan meningkat dan sekali gus pekebun kecil getah dapat menjana ekonomi melalui penjualan buluh kepada kilang-kilang yang beroperasi di Malaysia.


Sehubungan itu, pelbagai langkah proaktif perlu diambil untuk meningkatkan teknologi dalam industri buluh di Malaysia. Salah satu teknologi yang amat penting bagi industri buluh ialah teknologi rawatan dan pengawetan buluh untuk menjadikan buluh lebih lasak dan tahan lama sekali gus dapat meningkatkan nilai produk.


Semestinya kemajuan teknologi dalam industri buluh ini memerlukan pelaburan awal agar kajian-kajian yang berimpak berkaitan industri buluh dapat dijalankan dengan giat untuk mencipta produk berasaskan buluh tempatan yang boleh diterima di pasaran dunia dengan nilai yang tinggi.


Sekiranya impian ini tercapai, industri buluh akan membuka peluang pekerjaan dan membantu menjana pendapatan masyarakat luar bandar terutamanya pekebun kecil getah. Jika kini nilai industri buluh negara hanya mencecah ratusan ribu ringgit, diharapkan angka ini akan meningkat ke jutaan ringgit sesuai dengan sumber yang banyak di Malaysia.


Mungkin industri buluh mampu menjadi ‘pancing’ yang diberikan oleh kerajaan kepada pekebun kecil getah yang akan membuka ruang dan peluang agar mereka mampu berusaha tanpa perlu mengharapkan ‘ikan’ daripada pihak kerajaan di kemudian hari.


PENULIS ialah Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam, UiTM Cawangan Johor Kampus Pasir Gudang.


Sumber: Utusan


23 views
bottom of page