top of page

Bukit Larut tutup hingga akhir tahun



PUSAT Peranginan Bukit Larut, Taiping ditutup untuk kunjungan awam sehingga akhir tahun ini untuk penyelenggaraan dan naik taraf.


Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, penutupan atas perintah Jabatan Kerja Raya (JKR) demi keselamatan semua pihak.


Katanya, kawasan itu untuk membaiki jalan berturap di susulan beberapa kejadian tanah runtuh sejak November tahun lalu.


“Setakat ini lapan lokasi dikenal pasti berlaku runtuhan dan penutupan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Bagaimanapun, penutupan tidak membabitkan trek pendakian. Namun MPT mahupun JKR tidak bertanggungjawab ke atas sebarang insiden mahupun kemalangan sepanjang pendakian,” katanya.


Beliau berkata demikian pada Program Penanaman Pokok sempena Sambutan Hari Landskap Negara peringkat Taiping, hari ini.


Hadir sama Orang Besar Jajahan Larut, Matang dan Selama (LMS), Datuk Wan Mohd Isa Wan Mohd Razak dan Pegawai Daerah LMS, Mohamed Akmal Dahalan.


Khairul Amir berkata, penutupan sementara itu dijangka tidak menjejaskan kehadiran pelancong kerana masih terdapat tarikan lain di bandar Taiping.


Terdahulu, 31 pokok ditanam di jajaran Raintree Walk, Taman Tasik Taiping sempena program itu selain, 300 lagi pokok ditanam serentak di 44 sekolah sekitar daerah itu.


Program itu kerjasama antara MPT, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Taiping, Pejabat Daerah dan Tanah LMS dan Pejabat Hutan Daerah LMS dalam usaha membaik pulih landskap selain membudayakan tanggungjawab memelihara alam sekitar.


Sumber: Harian Metro


14 views
bottom of page