top of page

Bukan masalah gaji, rumah yang terlalu mahal


KUALA LUMPUR 30 Jan. - Harga rumah di negara ini perlu berada di tahap kemampuan mereka yang meraih pendapatan gaji purata.


Pengarah Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Dr. Suraya Ismail berkata, pendapatnya itu bagi menyelesaikan masalah tidak sepadan permintaan dan penawaran hartanah di negara ini.


"Berdasarkan kajian kami, tiada kenaikan gaji purata di negara ini seiring dengan peningkatan harga kediaman," katanya seperti yang dilaporkan portal ekonomi, EdgeProp, hari ini.


Walaupun ramai yang mempertikaikan harga rumah di negara ini berbanding London, Suraya berkata, Malaysia merupakan negara yang merdeka pada tahun 1957 dan ia adalah bandar muda jika dibandingkan dengan London.


"Untuk bandar muda berusia 60 tahun, hartanah kita harus lebih murah untuk pembeli tempatan tetapi kebanyakannya tidak mampu dimiliki oleh majoriti penerima gaji purata.


"Soalan saya, siapa yang awak (pemaju) bangunkan? Untuk pembeli tempatan atau siapa?" katanya.


Tambah beliau, penguatkuasaan sangat penting untuk memastikan objektif Dasar Rumah Negara (DRN) iaitu menggalakkan pemilikan rumah dicapai.


Isnin lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin melancarkan DRN yang turut meliputi Dasar Perumahan Mampu Milik Negara khusus untuk golongan B40.


Kata beliau, dasar tersebut menggariskan pembinaan rumah bersaiz 83.6 meter persegi yang berharga antara RM90,000 hingga RM300,000 seunit selain menubuhkan Majlis Perumahan Mampu Milik Negara.


Sumber: Utusan Online


274 views
bottom of page