
BESUT: Penduduk Kampung La di Hulu Besut di sini yang terjejas teruk akibat banjir, menggesa Kerajaan Pusat dan negeri segera membina rumah penempatan semula mangsa bencana itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JPKK) Kampung La, Abdul Razak Laboh berkata, penduduk sudah tidak tahan kerana terpaksa berdepan bencana banjir saban tahun dengan kerugian sama yang berulang.
Katanya, pembinaan rumah penempatan itu dapat menyelesaikan masalah banjir yang membelenggu penduduk sejak berpuluh tahun lalu.
“Banjir kali ini sangat teruk kerana sembilan rumah penduduk musnah dan enam lagi dihanyutkan arus deras banjir.
“Sebuah rumah yang hanyut itu dibaik pulih tiga kali sebelum ini, namun banjir baru-baru ini sangat dahsyat kerana ia hanyut sekelip mata.
“Sampai bila penduduk perlu berdepan masalah ini sedangkan ada tapak sesuai seluas kira-kira 60 hektar untuk merealisasikan projek penempatan semula itu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Lebih 1,000 penduduk kini menetap di Kampung La dan kesemua mereka terjejas dalam banjir baru-baru ini.
Abdul Razak berkata, projek pembinaan rumah penempatan semula itu patut disegerakan kerana ia dapat memberi manfaat kepada generasi muda untuk memiliki rumah sendiri yang lebih selamat daripada ancaman banjir.
“Harga rumah penempatan semula itu pula diharapkan lebih murah dan mampu milik kerana kebanyakan penduduk berpendapatan rendah.
“Sudah lebih 65 tahun negara merdeka, tapi nasib penduduk Kampung La masih tidak terbela kerana sentiasa menjadi mangsa banjir setiap tahun,” katanya.
Sumber: Utusan
תגובות