top of page

Bina budaya kualiti dalam projek pembinaan di Malaysia


Bina budaya kualiti dalam projek pembinaan di Malaysia
Keadaan terbengkalai projek pembinaan rumah Aspire Residence berhubung isu kelewatan pemaju ketika di Cyberjaya. Foto MOHD ADZLAN, 22 MAC 2022.

Bina budaya kualiti dalam projek pembinaan di Malaysia

TAK Tumbuh Tak Melata, Tak Sungguh Orang Tak Kata” biasan kepada kualiti dalam projek pembinaan di Malaysia yang perlu ditangani serta memerlukan tindakan dari pelbagai pihak berkaitan. Sebagaimana yang kita ketahui, industri pembinaan merupakan salah satu pemangkin utama yang menyumbang secara dinamik kepada ekonomi Malaysia melalui pelaksanaan projek infrastruktur mega oleh kerajaan serta projek-projek komersial swasta.


Namun tidak dinafikan, terdapat projek yang tidak mencapai kualiti yang diharapkan dan ini membimbangkan kerana ia melibatkan dari segi keselamatan pengguna akhir dan mencalarkan reputasi pemegang taruh bagi sesebuah syarikat pembinaan tersebut. Budaya kualiti merupakan aspek penting dalam industri pembinaan di Malaysia. Budaya kualiti yang baik tidak hanya memberi impak positif kepada projek pembinaan tetapi juga kepada keseluruhan industri pembinaan negara termasuk dari segi kualiti hasil akhir, keselamatan pekerja dan kepuasan pelanggan. Namun, masih terdapat cabaran dalam membangunkan budaya kualiti yang kukuh dalam kalangan pelaku industri pembinaan di negara ini.


Salah satu masalah utama yang dihadapi dalam projek pembinaan di Malaysia adalah kurangnya kesedaran dan komitmen terhadap budaya kualiti. Banyak pihak terlalu memberi tumpuan kepada faktor-faktor lain seperti kos dan masa, tanpa mengutamakan aspek kualiti dalam setiap fasa projek pembinaan. Ini menyebabkan kecacatan dan kekurangan dalam hasil akhir projek, serta meningkatkan risiko kemalangan dan kegagalan struktur.


Situasi semasa industri pembinaan di Malaysia menunjukkan bahawa masih terdapat kelemahan dalam membangunkan budaya kualiti yang mantap. Pelbagai insiden kemalangan dan kegagalan projek masih berlaku akibat ketidaksempurnaan dalam proses pembinaan. Ketiadaan kesedaran dan komitmen terhadap kualiti juga turut menyumbang kepada reputasi buruk industri pembinaan Malaysia di mata antarabangsa.


Faktor-faktor yang menyumbang kepada ketidakpatuhan pemain industri terhadap kualitiprojek pembinaan adalah:


Isu berkaitan kontraktor

Sering kali berlaku kepincangan di dalam tugas untuk memeriksa tapak oleh pihak kontraktor. Selain itu, isu pengurusan risiko yang tidak ditangani dengan berkesan dan ditambahkan lagi pertukaran sub-kontraktor pada bila-bila masa boleh menyebabkan kualiti projek pembinaan semakin teruk. Isu berkaitan kontraktor ingin mendapatkan lebih banyak keuntungan dan mengurangkan kualiti ditambah dengan kekurangan pengalaman pihak kontraktor dalam mengawal kualiti telah menambahkan lagi rencah dalam kekusutan berkenaan isu kualiti ini dalam projek pembinaan.


Isu berkaitan bahan

Isu yang sering kali sama terpalit adalah berkenaan dengan bahan binaan yang mana pengangkutan bahan binaan yang tidak mencukupi dan terdapat segelintir pihak kontraktor mahupun pemain industri memilih bahan yang murah berbanding kualiti dan bahan binaan tersebut tidak sesuai untuk spesifikasi projek.


Isu berkaitan buruh

Kekurangan pekerja latihan berkualiti mengenai teknik pembinaan moden adalah antara isu yang membabitkan kualiti di dalam projek pembinaan di Malaysia. Terdapat pekerja tidak komited dengan kerja mereka hanya mencari wang adalah sumber kepada kekangan mendapatkan kualiti yang baik di samping pekerja binaan tidak mendapat ganjaran atas kerja baik mereka.


Isu berkaitan tempoh

Kurang perancangan dan penjadualan projek yang betul oleh pihak kontraktor, subkontraktor dan lain-lain pemain industri telah menyebabkan isu kualiti ini dibangkitkan sebagai faktor yang menyumbang ketidakpatuhan pemain industri terhadap kualiti projek pembinaan di Malaysia. Perubahan dan variasi dalam reka bentuk oleh pelanggan dan kekurangan anggaran bangunan pembinaan juga menyumbang kepada faktor ketidakpatuhan pemain industri terhadap kualiti projek pembinaandi samping pengurusan fasa pelaksanaan yang tidak betul oleh pemain industri.


Untuk membina budaya kualiti dalam projek pembinaan di Malaysia, terdapat beberapa langkah yang perlu diambil. Antaranya:


Kesedaran dan Pendidikan

Pihak pengurusan dan pekerja di dalam projek pembinaan perlu diberi kesedaran mengenai kepentingan budaya kualiti. Mereka perlu difahamkan bahawa budaya kualiti membantu meningkatkan reputasi syarikat, mengurangkan kos dan meningkatkan kepuasan pelanggan. Pendidikan mengenai budaya kualiti juga perlu diberikan kepada semua pihak yang terlibat dalam projek pembinaan.


Penyeliaan dan pengawasan

Penyeliaan dan pengawasan yang berterusan perlu dilakukan untuk memastikan bahawa amalan kualiti diikuti dengan betul oleh semua pihak yang terlibat dalam projek pembinaan. Penyelia perlu memberi tunjuk ajar dan bimbingan kepada pekerja untuk memastikan bahawa standard kualiti yang telah ditetapkan dipatuhi.


Penggunaan teknologi dan inovasi

Penggunaan teknologi dan inovasi dalam projek pembinaan juga dapat membantu meningkatkan budaya kualiti. Teknologi seperti Building Information Modeling (BIM) boleh membantu meningkatkan koordinasi antara pelbagai pihak dalam projek pembinaan. Inovasi dalam bahan binaan juga dapat membantu meningkatkan kualiti hasil akhir projek.


Komunikasi yang berkesan

Komunikasi yang berkesan antara semua pihak yang terlibat dalam projek pembinaan juga penting untuk membina budaya kualiti. Komunikasi yang terbuka dan jujur dapat membantu mengelakkan sebarang kesilapan dan meningkatkan kerjasama antara pelbagai pihak. Bagi menghadapi cabaran dan kelemahan dalam pembinaan, pembangunan budaya kualiti yang mantap merupakan kunci kejayaan dalam industri pembinaan di Malaysia. Dengan kesedaran, komitmen dan kerjasama yang baik dari semua pihak, kita mampu memastikan setiap projek pembinaan di negara ini mencapai standard kualiti yang tinggi dan memenuhi harapan pelanggan.


Budaya kualiti bukan sahaja membawa manfaat kepada industri, tetapi juga kepada masyarakat dan negara secara keseluruhan. Dengan mengambil langkah-langkah ini, diharapkan budaya kualiti dalam projek pembinaan di Malaysia dapat ditingkatkan.


Budaya kualiti yang kukuh akan membantu meningkatkan reputasi industri pembinaan negara dan memastikan kelestarian industri ini pada masa akan datang. Oleh itu, terdapat pelbagai inisiatif yang dijalankan bagi mengurangkan masalah kualiti oleh pelbagai pihak di Malaysia. Antaranya ialah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah memperkenalkan Skema ISO dan QLASSIC (Quality Assessment System in Construction), ia bertujuan untuk meningkatkan lagi pembangunan produk berkualiti dalam industri pembinaan.




Oleh:

Sr. Zailawati Khalid

Penyelidik Utama Focus Group Virtual Construction (VC),

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)



Bina budaya kualiti dalam projek pembinaan di Malaysia

Comments


bottom of page