Bicara kes rasuah Abdul Azeez ditangguh



PERBICARAAN kes rasuah dan pengubahan wang haram Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan abangnya, Datuk Abdul Latif di Mahkamah Sesyen di sini, yang sepatutnya bermula 16 Mac ditangguhkan ke 16 April.


Hakim Azura Alwi menangguhkan perbicaraan itu selepas membenarkan permohonan peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Abdul Azeez.


Hisyam memberitahu mahkamah bahawa beliau akan bercuti sakit bermula 11 Mac sehingga 10 April dan sehubungan itu, memohon tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini iaitu pada 16 hingga 20 Mac serta 1 hingga 3 April dilapangkan.


Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim tidak membantah permohonan itu.



Azura kemudian menetapkan tarikh perbicaraan baharu iaitu pada 16 dan 17 April serta 20 sehingga 22 April.


Abdul Azeez, 53, menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah serta sembilan pertuduhan pengubahan wang haram hampir RM140 juta, manakala abangnya menghadapi dua pertuduhan bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Abdul Azeez.


Bagi pertuduhan rasuah, Abdul Azeez dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Cawangan Menara UAB, Jalan Tun Perak, di sini pada 8 Disember 2010 dan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Petaling, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.


Bagi kes pengubahan wang haram, dia dituduh melakukan kesalahan itu di sekitar Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.


Tiga pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, manakala sembilan pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.


Abdul Latif, 62, yang diwakili peguam Fudhail Zulaini pula menghadapi dua pertuduhan bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Abdul Azeez yang telah secara rasuah menerima wang tunai berjumlah RM4 juta daripada Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah, yang juga Pengarah Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd, sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek pembinaan jalan secara tender terhad, daripada Kementerian Kerja Raya Malaysia.


Projek melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru: Kerja-Kerja Menaik Taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak Darul Ridzuan) yang bernilai RM644,480,000.


Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Petaling, Selangor antara 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.


Sumber: Harian Metro


#evolusibina #KKR #SPRM

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.