Beri peluang banduan bina LRT3



SERAMAI 23 banduan yang dirujuk sebagai Orang Diselia (ODS) diberi peluang untuk bekerja di projek pembinaan Depoh Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) di Johan Setia menerusi program PEKA@MRCB.


PEKA yang bermakna ‘Peluang Kedua Anda’ menyediakan peluang pekerjaan bagi pesalah terpilih dan ia adalah sebahagian daripada inisiatif Reben Kuning dengan kerjasama Jabatan Penjara dan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).


Naib Presiden Eksekutif MRCB, Datuk Dell Akbar Khan, berkata, pihaknya sentiasa menyokong usaha kerajaan dalam membina kerjaya dalam industri pembinaan dalam kalangan ODS.


"Program PEKA@MRCB adalah langkah pertama untuk ODS mengasah kemahiran, menjana pengalaman serta pendapatan seterusnya memudahkan mereka mendapat peluang pekerjaan selepas dibebaskan.


"Selain dari membantu mereka dengan kemahiran, penglibatan ODS dalam sektor pembinaan khususnya dapat mengurangkan kebergantungan kita kepada tenaga kerja asing," katanya selepas Majlis Penyerahan Kontrak Kerja kepada ODS oleh Trans Resources Corporation Sdn Bhd (TRC) di Klang, Selangor, tadi.


Turut hadir adalah Pengarah Urusan Kumpulan TRC, Tan Sri Sufri Mohd Zin dan Pengarah Parol dan Perkhidmatan Komuniti Penjara Malaysia, Komisioner Penjara Ibrisam Abdul Rahman.


Sementara itu, Sufri berkata pembabitan ODS dalam sektor pembinaan akan mengurangkan masalah terutamanya dalam komunikasi serta masalah sosial.


"Pekerja warga asing sering kali mengalami kesukaran untuk berkomunikasi kerana perbezaan bahasa selain mereka juga tidak faham adab serta adat seperti orang tempatan.


"Kami juga boleh katakan kerja-kerja yang dilakukan ODS juga lebih kemas dan teliti kerana mereka cepat menyesuaikan diri berbanding pekerja warga asing," katanya.


Sementara itu, menurut Ibrisam, 23 ODS yang terpilih untuk terbabit dalam projek berkenaan adalah yang akan mengakhiri hukuman dalam tempoh 12 bulan dan kini ditempatkan di Penjara Sungai Buloh.


Katanya, pihaknya juga menempatkan tiga warden penjara untuk memantau ODS ketika mereka sedang bekerja.


Difahamkan, ODS yang bekerja diberi gaji bulanan minimum sebanyak RM1,100, peruntukan kerja lebih masa, makanan harian, insurans, perlindungan perubatan dan peralatan perlindungan keselamatan.


Sumber: Harian Metro


#evolusibina #MRCB

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.