top of page

Belanjawan 2024: Kerjasama awam-swasta kunci pembangunan infrastruktur


Belanjawan 2024: Kerjasama awam-swasta kunci pembangunan infrastruktur
Gambar hiasan: HSR

Belanjawan 2024: Kerjasama awam-swasta kunci pembangunan infrastruktur

KUALA LUMPUR: Kerjasama antara sektor awam dan swasta (PPP) perlu menjadi mekanisme utama yang memainkan peranan penting dalam pembiayaan dan pelaksanaan projek infrastruktur di Malaysia dalam Belanjawan 2024.


Pensyarah Kanan Pusat Kajian Logistik dan Pengangkutan, Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik Universiti Utara Malaysia Prof Madya Dr. Rohafiz Sabar berkata kerjasama PPP ini memberikan banyak manfaat.


"Manfaat pertama adalah kelestarian kewangan dengan kerjasama ini memberikan alternatif kepada sumber kewangan tradisional dan membantu mengurangkan beban hutang kerajaan. Ini membolehkan projek infrastruktur terus bergerak tanpa menjejaskan kewangan awam.


"Pembiayaan projek oleh sektor swasta dapat membantu menyediakan sumber pembiayaan tambahan untuk projek infrastruktur. Dalam PPP, pelaburan swasta boleh digunakan untuk menampung sebahagian besar atau keseluruhan kos pembangunan," katanya.


Beliau berkata manfaat seterusnya adalah sektor swasta boleh menyediakan inovasi dan teknologi terkini dalam projek infrastruktur negara.


"Mereka mungkin dapat memperkenalkan kaedah pembinaan yang lebih efisien, penggunaan teknologi hijau dan amalan terbaik dalam pengurusan projek.


"Selepas pembangunan sesuatu projek dijalankan, sektor swasta juga boleh bertanggungjawab untuk penyelenggaraan dan pengurusan berterusan projek berkenaan. Ini boleh melibatkan penyelenggaraan aset, pembaikan dan pemeliharaan untuk jangka panjang. Ini juga dapat menjimatkan beban kewangan kerajaan," katanya.


Beliau juga menegaskan, Belanjawan 2024 perlu menyediakan insentif dan kemudahan kewangan untuk menarik pelaburan swasta dalam projek infrastruktur antaranya pengecualian cukai atau pelbagai kelebihan kewangan kepada syarikat terlibat.


"Kerajaan juga perlu memudahkan proses perolehan, penilaian risiko dan rundingan kontrak dalam usaha untuk memudahkan kerjasama antara sektor awam dan swasta.


"PPP yang dijalankan secara baik dan berhemah dapat memastikan hubungan yang saling menguntungkan antara kerajaan dan pihak swasta, seterusnya dapat membantu Malaysia mencapai pertumbuhan ekonomi dan pembangunan infrastruktur yang mampan," katanya.


Sumber: Berita Harian


Belanjawan 2024: Kerjasama awam-swasta kunci pembangunan infrastruktur


bottom of page