top of page

Infrastruktur, SME isu utama dibangkit dalam Dialog Belanjawan 2024


Infrastruktur, SME isu utama dibangkit dalam Dialog Belanjawan 2024
Belanjawan 2024

Infrastruktur, SME isu utama dibangkit dalam Dialog Belanjawan 2024

SEREMBAN - Masalah infrastruktur dan pemerkasaan sektor perusahaan kecil dan sederhana (SME) antara isu utama yang banyak dibangkitkan dalam program Dialog Belanjawan 2024 di enam negeri setakat ini.


Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong berkata, kesemua input tersebut telah dikumpulkan dan akan diperhalusi sebagai penyediaan belanjawan kali ini.


"Negeri Sembilan merupakan negeri keenam Sesi Libat Urus Jelajah Belanjawan 2024 dan saya boleh simpulkan kebanyakan yang disuarakan kepada kita dalam sesi ini ialah berkenaan soal infrastruktur seperti jalan raya, hospital dan sekolah.

Kerjaya Madani Politeknik Shah Alam

"Jadi fokus kerajaan semestinya soal kemudahan infrastruktur, tak kiralah dari sudut sekolah, soal tandasnya dan untuk pelancongan pula kita nak pastikan kawasan itu ada infrastruktur yang sempurna," katanya ditemui selepas program Jelajah Belanjawan 2024 Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di sini, pada Selasa.


Selain itu, Stevan berkata, pemerkasaan SME akan terus menjadi agenda kerajaan, malah akan diperkembangkan lagi susulan dilihat antara tunggak kepada ekonomi negara.


Pada masa sama katanya, kerajaan akan turut memberi penekanan kepada pelaburan langsung asing (FDI) yang memberi kebaikan terhadap ekonomi.


"Meskipun kerajaan dalam kerangka menstrukturkan semula ekonomi negara supaya dapat pelaburan bernilai tinggi, tapi kita tak lupa kepada golongan rentan termasuk golongan B40," katanya.


Tambahnya, semestinya nasib golongan itu akan terus diberi perhatian sewajarnya seperti mana pada Belanjawan 2023, malah akan ditambah baik bukan sahaja dari segi peruntukan tetapi juga pelaksanaan.


"Kita nak pastikan supaya bantuan bersasar dapat sampai kepada golongan sasar, begitu juga bantuan segera dapat diberikan bagi mengatasi bebanan hidup dihadapi rakyat," katanya.


Pada sesi dialog berkenaan, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut membangkitkan soal masalah kesesakan jalan yang berlaku di kawasan mereka berikutan keadaan jalan sedia ada dilihat tidak lagi mampu menampung jumlah kenderaan yang banyak.


ADUN Ampangan, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman pula berharap Hospital Tuanku Jaafar Seremban yang kedua dapat dibina bagi menampung jumlah pesakit yang ramai.


Sumber: Sinar Harian


Infrastruktur, SME isu utama dibangkit dalam Dialog Belanjawan 2024


bottom of page