Belanjawan 2021: KKR harap fokus terus diberikan kepada MRT3, HSR, ECRL dan Pan Borneo


Sektor berkenaan perlu terus jadi pemangkin, teras kepada agenda pemulihan ekonomi dan pertumbuhan KDNK, terutamanya dalam keadaan COVID-19. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Projek-projek pembinaan utama negara yang sedang dan akan dibina seperti Mass Rapid Transit Line 3 (MRT3), Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Rel Berkelajuan Tinggi (HSR), Pan Borneo dan projek lebuh raya terus berjalan lancar, kata Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.


Dalam satu kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Petra Jaya itu berkata, projek berkaitan pengangkutan dan industri pembinaan negara perlu terus diberi perhatian dalam Belanjawan Negara 2021, yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat, 6 November ini.


Ujarnya lagi, sektor berkenaan perlu terus menjadi pemangkin dan teras kepada agenda pemulihan ekonomi dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), terutamanya dalam keadaan negara dilanda COVID-19 sejak awal tahun ini.


“Saya juga berharap Belanjawan 2021 ini juga dapat mempertimbangkan permintaan projek-projek berkeutamaan tinggi tertentu oleh Kementerian Kerja Raya. Antaranya ialah baki bagi pakej projek Central Spine Road (CSR) dan Jalan Kota Bharu - Kuala Krai yang masih lagi belum diluluskan, iaitu laluan antara Kuala Krai ke Gua Musang dan juga jajaran menghubungkan Bentong ke Karak.


“Manakala di Malaysia Timur pula, antara projek berkeutamaan tinggi yang terlibat ialah laluan 'missing link' menghubungkan Kuala Baram di Miri dengan sempadan negara Brunei Darussalam di CIQ Sungai Tujuh sepanjang hampir 5km,” katanya lagi.


Di samping itu, Fadillah berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) juga telah memohon sekurang-kurangnya 20 projek baharu di seluruh negara, sama ada projek menaik taraf jalan sedia ada kepada laluan 4 lorong 2 hala, atau membina jalan-jalan baharu untuk menambah baik rangkaian jalan utama sedia ada.


Ujarnya lagi, kesemua cadangan projek itu telah diteliti dan diperhalusi di peringkat kementerian bersama Agensi-Agensi Pusat melalui parameter-parameter khusus. Ini termasuklah juga telah melalui proses konsultasi dengan Kerajaan-Kerajaan Negeri.


“Selain projek-projek 'game-changer' dan projek-projek baharu yang telah disebutkan tadi, saya juga berharap supaya peruntukan yang signifikan juga dapat disediakan oleh Kerajaan untuk projek-projek kecil sebagai sebahagian pakej rangsangan ekonomi tahun 2021.


“Contohnya - projek senggara jalan, cerun, bangunan dan kuarters-kuarters Kerajaan. Kesan pengganda ekonomi yang diperoleh melalui projek-projek kecil sebegini akan lebih cepat dirasai dan dapat dinikmati oleh lebih ramai lapisan penggiat industri yang terlibat dalam mata rantaian sektor pembinaan,” katanya lagi.


Fadillah berkata, walaupun industri sektor pembinaan dilihat telah kembali rancak semula selepas suku ke-3 tahun 2020, namun perjalanan industri itu tidak lagi sama selepas berlaku wabak pandemik COVID-19.


Jelasnya lagi, ia kerana industri perlu mematuhi norma baharu yang ditetapkan Kerajaan bagi membendung dari berlaku penularan wabak yang telah mengubah sama sekali cara kebiasaan hidup manusia.


“Untuk itu, saya berharap peruntukan yang signifikan dapat disediakan kepada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk menggiatkan lagi penggunaan teknologi dalam industri pembinaan.


“Ini boleh diadaptasikan melalui teknologi IR4.0 seperti robotik, automosi, data raya, internet kebendaan (IOT), realiti maya (VR) dan kecerdasan buatan (AI),” katanya lagi.


Selain itu Fadillah berkata, melalui Belanjawan 2021, KKR juga berharap dapat mengukuhkan lagi penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS), Building Information Modelling (BIM) dan PreApproved Plan (PAP) dalam pelaksanaan projek-projek Kerajaan dan swasta.


Jelasnya lagi, ia bagi memenuhi aspirasi yang telah digariskan dalam Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) 2016-2020 dan Dasar Pembinaan Kebangsaan (NCP) 2030 yang bakal dilancarkan nanti.


Sumber: Astro Awani


#evolusibina #MRT #LRT #ECRL #HSR #KKR #PanBorneo

194 views0 comments

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2021 EvolusiBina. All rights reserved.