top of page

Belanjawan 2021: Kekalkan 30 peratus tender untuk Bumiputera


Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus penganugerahan tender dan projek termasuk yang akan diumumkan dalam Belanjawan 2021, dikhususkan untuk kontraktor Bumiputera.


Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Datuk Azman Yusoff, berkata pembabitan kontraktor Bumiputera masih di tahap tidak menampakkan kesungguhan kerajaan dalam meneruskan agenda Bumiputera melalui dasar perolehan.


Katanya, ia termasuk pembabitan dalam projek mega seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dan Lebuhraya Lingkaran Tengah (CSR) yang pernah dijanjikan kerajaan dalam pengumuman Belanjawan 2020.


"Pembabitan kontraktor Bumiputera masih rendah kerana tidak diberi peluang dan ruang untuk mengambil bahagian kerana kekangan perjanjian yang tidak memihak kepada kontraktor Bumiputera," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, kerajaan perlu melaksanakan penambahbaikan terhadap sistem pemilihan tender memandangkan sistem sedia ada didakwa masih membuka ruang kepada penguasaan kumpulan 'kartel' yang dikatakan mengganggu harga perolehan hingga ke tahap merugikan kerajaan.


"Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu memantau dengan lebih teliti dan melakukan penambahbaikan dengan mewujudkan mekanisme mampan dalam mengawal proses penyertaan tender kerajaan," katanya.


Beliau juga mencadangkan tambahan peluang kepada kontraktor G1 dari segi peruntukan yang diluluskan dalam Belanjawan 2020 dinaikkan daripada RM1.3 bilion kepada RM3.5 bilion.


Katanya, ia selepas mengambil kira kesan pandemik COVID-19 yang menjejaskan kontraktor G1 hingga G7.


"Peranan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) sebagai agensi pelaksana yang kukuh perlu diperkasa bagi memantau kesinambungan kontraktor Bumiputera dalam memberi latihan dan tunjuk ajar.


"Perlu juga diperbanyak dana latihan dan mempertingkatkan kapasiti bantuan dana Skim Kumpulan Wang Amanah Kontraktor (SKWAK) sehingga RM500 juta.


"Kami mengharapkan kelangsungan kontraktor tempatan, Bumiputera dan semua penggerak industri dapat diteruskan dalam waktu getir ini.


"Pembabitan semua agensi secara serius dapat memberikan sedikit sinar kepada kontraktor Bumiputera ketika ini," katanya.



55 views
bottom of page