Bekas penolong jurutera JKR didakwa ubah wang haram


MELAKA TENGAH - Seorang bekas Penolong Jurutera Mekanikal Jabatan Kerja Raya (JKR) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pengubahan wang haram hampir RM190,000, dua tahun lalu.


Hairudin Ngadiron,44, membuat pengakuan itu selepas sembilan pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.


Berdasarkan kertas pertuduhan, Hairudin yang ketika itu bertugas di Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bakri, Muar, Johor, didakwa membabitkan diri dalam transaksi penggunaan wang tunai RM187,898.20 hasil daripada aktiviti haram bagi tujuan pelbagai perbelanjaan pengubahsuaian kediaman dan pembayaran menyelesaikan kes rasuah.


Perbuatan itu dilakukan tertuduh melalui sembilan transaksi berasingan di Kilometer 35, Kampung Parit Gantung, Sungai Rambai, Jasin antara Januari hingga Julai 2017.


Hairudin didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram AMLATFPUAA 2001.


Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi.


Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd. Farez Rahman, bagaimanapun tertuduh diwakili Peguam Faidzal Latif.


Dalam prosiding itu, Mohd Farez mencadangkan mahkamah mengguna pakai jumlah jaminan terdahulu, selain memohon kesemua kes dibicarakan bersama.


Mahkamah membenarkan cadangan pihak pendakwaan dan menetapkan 16 April depan sebagai tarikh perbicaraan melibatkan seramai 26 saksi.


Hairudin pernah didakwa dan mengaku tidak bersalah di mahkamah sama pada 5 Oktober 2017 atas tujuh pertuduhan menerima suapan dalam bentuk wang tunai dan barangan bernilai RM465,886.32 daripada seorang kontraktor sebagai upah membantu mendapatkan kerja di maktab berkenaan pada 2016.


Tertuduh sekali lagi pernah berdepan dengan pertuduhan menerima suapan bernilai RM4,200 membabitkan bayaran membaiki sebuah kenderaan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, Johor Bahru, pada 10 Oktober 2018 dan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM30,000.


Sumber: Sinar Harian


#evolusibina #JKR #SPRM

48 views

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.