top of page

Bekas jurutera KTMB didakwa rasuah berhubung projek LRT, Komuter.


LRT Stesen Abdullah Hukum

KUALA LUMPUR – Seorang bekas jurutera awam jabatan pengurusan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah bejumlah RM1,450 berhubung tiga projek membabitkan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) dan Komuter lima tahun lalu.


Bagaimanapun tertuduh Mohd. Amin Muhammad N.Hushaimi,36, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozina Ayob.


Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa sebagai Pegawai Badan Awam, iaitu Jurutera Awam, Jabatan Pengurusan Projek, KTMB (ketika itu) telah secara rasuah menerima suapan daripada Mohd. Nizam Hasan berjumlah masing-masing RM950 dan RM500 melalui akaun Maybank Islamic milik tertuduh.



Suapan itu adalah sebagai dorongan untuk dirinya sebagai pengurus projek untuk tidak mengesyorkan surat arahan berhenti kerja sementara ekoran faktor keselamatan bagi projek cadangan tambahan dan pengubahsuian pada LRT Stesen Abdullah Hukum sedia ada dan cadangan pembangunan sebuah Stesen KTM Komuter tiga tingkat di atas sebahagian tanah rizab keretapi.


Selain itu projek lain juga ialah cadangan pembangunan mendirikan sebuah Stesen Komuter Bersepadu Kajang 2 serta kemudahan lain antaranya pejabat pengurusan, Kiosk jualan tiket, pusat penerangan pelancongan dan jejantas pejalan kaki yang berbumbung.


Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Berhad di Lot No.7, 8 & 9 Departure Hall Level 1, Kl City Air Terminal (KLCAT), KL Sentral di sini pada 15 Julai dan 14 September 2015.


Bagi kesemua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.


Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Muhammad Asraf Mohamed Tahir mencadangkan jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan.


Bagaimanapun peguam Shahidah Muslimah Roslan yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan ikat jamin itu dengan alasan tertuduh kini bekerja sendiri dengan menjual laksa selepas diberhentikan kerja.


“Tertuduh juga mempunyai tanggungan keluarga termasuk dua orang anak yang masing-masing berusia lima dan tujuh tahun serta seorang isteri,” katanya.


Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Rozina membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM berdekatan sekali sebulan.


Mahkamah kemudian menetapkan 23 September depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – K! ONLINE.


Sumber: Kosmo


26 views
bottom of page