top of page

Beberapa surat setuju terima projek Jana Wibawa babit ahli keluarga pemimpin politik


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said. - Foto BERNAMA

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR: Beberapa senarai Surat Setuju Terima (SST) yang dikeluarkan menerusi projek di bawah Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) membabitkan ahli keluarga pemimpin utama parti politik tertentu.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata sebanyak 56 projek mendapat SST dan keseluruhan projek itu bernilai RM6.3 billion.


Beliau berkata, setakat ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum dapat mengenal pasti nilai sebenar projek itu.


"SPRM sudah menjalankan siasatan terhadap isu berkaitan tender rundingan terus.


"Antaranya adalah projek di bawah Jana Wibawa yang mana ia membabitkan projek pembangunan dan infrastruktur," katanya dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat, di sini.


Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah bilangan dan nilai projek yang terbabit dalam penyalahgunaan kuasa, khususnya tender rundingan terus dan yang membabitkan ahli keluarga pemimpin utama serta tindakan yang diambil ke atas mereka yang dapat 'habuan'.


Pada masa sama, Azalina berkata terdapat juga beberapa tambahan projek lain yang masih dalam tindakan siasatan SPRM.


Semalam, SPRM mengesahkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin antara suspek yang disiasat bagi projek Jana Wibawa.


Sumber SPRM dilaporkan berkata, dalam siasatan itu Muhyiddin adalah suspek siasatan ketika beliau dipanggil memberi keterangan di suruhanjaya berkenaan.


Sementara itu, seorang pemimpin kanan sebuah parti politik dan seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat ditahan SPRM berhubung kes projek Jana Wibawa.


Kedua-dua mereka ditahan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya malam ini sebelum dijangka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi esok bagi proses pertuduhan.


Sumber: Berita Harian


21 views

Comments


bottom of page