top of page

Beberapa pihak swasta minat teruskan projek HSR


Projek mega Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura
Gambar hiasan: Projek mega Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura

JOHOR BAHRU: Beberapa syarikat swasta tempatan menyatakan minat bagi meneruskan projek mega Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang dihentikan sebelum ini.


Walau bagaimanapun, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan perlu meneliti terlebih dahulu model pelaksanaan, pembiayaan dan sebagainya berkaitan minat yang disuarakan itu dan perkara tersebut telah dikongsikan.dengan rakan sejawatnya dari Singapura, S. Iswaran ketika pertemuan hari ini.


“Saya bersama dengan Menteri Pengangkutan Singapura memang ada membincangkan tentang perkembangan HSR. Kita menyatakan dengan jelas bahawa pendirian kerajaan pada ketika ini ialah kita mengalu-alukan penglibatan sektor swasta untuk melaksanakan projek HSR ini.


“Ketika ini, kita masih lagi untuk mendapatkan maklum balas. Tetapi prinsip yang telah dinyatakan secara jelas oleh kerajaan ialah kita mengalu-alukan projek ini disambung semula tetapi dengan pembiayaan pihak swasta, itu adalah pendirian kita,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat tapak projek RTS di Stulang Laut, di sini bersama Iswaran bagi meninjau kemajuan projek tersebut.


Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan projek jaringan pengangkutan awam moden itu masih tergantung dan tiada sebarang keputusan dibuat sama ada untuk diteruskan atau dibatalkan.


Penamatan kontrak yang diputuskan ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri tidak menyebabkan HSR dibatalkan, sebaliknya ia hanya melibatkan penamatan perjanjian antara kedua-dua negara.


Kerajaan Malaysia dilaporkan membayar pampasan sebanyak RM320.27 juta kepada kerajaan Singapura selepas kedua-dua negara bersetuju untuk menamatkan kontrak pembinaan HSR sepanjang 350 kilometer itu pada 31 Disember 2020.


Sementara itu, Iswaran berkata, Singapura menyambut baik usaha itu serta bersedia meneliti apa jua cadangan Malaysia bagi pelaksanaan semula HSR.


“Ini juga menjadi komitmen bersama Singapura bagi terus memperkasakan jalinan perhubungan antara dua negara membabitkan laluan darat, udara dan air,” katanya.


Mengenai tahap kemajuan kerja projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang menghubungkan Johor Bahru – Singapura Anthony Loke berkata, projek itu sudah mencapai 36 peratus hingga 30 April lalu, iaitu mengikut jadual walaupun berdepan pelbagai cabaran, antaranya kerajaan bertukar dua kali termasuk dilanda pandemik Covid-19.


Menurutnya, pembinaan jajaran laut rel laluan RTS menghubungkan Stulang Laut, ke Woodlands, Singapura pula kini mencapai 30 peratus, katanya.


Pembinaan RTS bermula pada Januari 2021 yang dijadualkan mengambil masa empat tahun membabitkan pembangunan struktur sivil, manakala fasa pembinaan sistem telekomunikasi, pentauliahan dan pengujian sistem akan dijalankan pada 2025 hingga 2026 sebelum beroperasi sepenuhnya pada 2027.


Jajaran RTS itu merangkumi jarak 2.7 kilometer (km) di Malaysia serta 1.3 km di Singapura dengan sistem pengangkutan itu mampu menampung kira-kira 10,000 penumpang bagi sejam.


Sumber: Utusan

bottom of page