top of page

HSR KL-Singapura boleh ikut model pembiayaan Eurostar


Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura
Projek Eurostar dibiayai menerusi gabungan inisiatif pembiayaan kerajaan dan swasta - Foto Reuters

Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura

KUALA LUMPUR: Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura boleh menggunakan model pelaburan swasta yang digunakan negara lain seperti Eropah dan Thailand.


Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata mengambil kira keperluan sektor swasta membiayai sepenuhnya projek HSR, adalah wajar untuk melihat kepada mekanisme pembiayaan projek kereta api berkelajuan tinggi di negara-negara lain.


"Penemuan kami menunjukkan projek kereta api berkelajuan tinggi yang mempunyai ciri-ciri sama seperti HSR seperti perkhidmatan Eurostar (anggaran kos lebih AS$10 bilion) serta kereta api berkelajuan tinggi Bangkok-Chiang Mai (anggaran kos AS$12.9 bilion) dibiayai menerusi gabungan inisiatif pembiayaan kerajaan dan swasta.


"Dengan ketiadaan projek kereta api berkelajuan tinggi yang dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta di negara-negara lain, kami merasakan adalah sukar bagi kerajaan menarik pembiayaan sektor swasta sepenuhnya bagi projek ini," katanya dalam satu nota penyelidikan.


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, semalam berkata kerajaan terbuka kepada cadangan pelaksanaan semula HSR Kuala Lumpur-Singapura selagi ia membabitkan pelaburan swasta.


Beliau berkata, setakat ini tiada sebarang keputusan diputuskan kerajaan mengenai pembangunan HSR KL-Singapura selepas perjanjian projek berkenaan dengan Singapura disahkan berakhir pada 31 Disember 2021, sekali gus menyaksikan projek berkenaan terbatal secara sendirinya.


Malaysia dan Singapura mula menandatangani perjanjian dua hala mengenai projek itu pada 13 Disember 2016 tetapi menamatkan projek itu selepas mengalami beberapa kelewatan.


Projek yang membabitkan pembangunan sepanjang 350 kilometer itu akan memendekkan masa perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura kepada hanya 90 minit.


Mengulas lanjut, Adam berkata Gamuda Bhd dan Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) menerusi usaha sama (JV) 50:50 sebelum ini adalah penerima manfaat projek HSR apabila memperoleh kontrak pentauliahan syarikat JV sebagai rakan pelaksana projek bagi seksyen utara HSR pada 2018 sebelum ia dibatalkan.


"Kontrak itu juga memerlukan syarikat JV berkenaan menghantar bon komitmen berjumlah RM5 juta dan jaminan korporat yang diterbitkan oleh kedua-dua MRCB dan Gamuda kepada MyHSR Corp dalam tempoh 14 hari daripada penganugerahan kontrak," katanya.


Beliau menambah, risiko politik turut menjadi pertimbangan seandainya pelaksanaan projek ini berlanjutan sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang.


"Risiko itu datang dalam bentuk jika pentadbiran baharu memutuskan untuk tidak meneruskannya," katanya.


Sumber: Berita Harian


35 views

Comments


bottom of page