top of page

Banyakkan peluang untuk kontraktor muda, wanita


Banyakkan peluang untuk kontraktor muda, wanita Berita Harian www.bharian.com.my
Kerajaan diminta memperbanyakkan peluang kerja kepada kontraktor muda dan wanita, terutama dalam kerja menaik taraf jalan dan penyelenggaraan bangunan, dengan komitmen itu dinyatakan dalam Bajet 2023. - Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memperbanyakkan peluang kerja kepada kontraktor muda dan wanita terutama dalam kerja menaik taraf jalan dan penyelenggaraan bangunan, dengan komitmen itu dinyatakan dalam Bajet 2023.


Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKPB), Datuk Dr Azman Yusoff, berkata ini termasuk mewujudkan beberapa geran khas bagi tujuan membimbing serta melatih mereka yang baru menceburi industri itu.


Beliau berkata, kontraktor G5 hingga G7 juga perlu diberi perhatian supaya lebih produktif dalam usaha mereka memulihkan ekonomi negara.


"Umum mengetahui pembentangan Bajet 2023 akan berlangsung pada 7 Oktober ini.


"Sudah tentu industri pembinaan negara juga tidak mahu terlepas peluang untuk memberikan cadangan dan cara mana industri ini dapat terus bergerak ke hadapan terutama ketika suasana dan persekitaran ekonomi dalam keadaan yang tidak menentu serta sangat tenat," katanya.


Menerusi Bajet 2023 itu, katanya, PKBM juga mencadangkan supaya penggunaan sistem e-Tender dan aplikasi terkini lain bagi industri pembinaan dijayakan, bagi menggalakkan kontraktor tempatan terbabit dengan dunia pendigitalan.


Beliau berkata, kerajaan juga disaran memperbanyakkan kerja Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan mewajibkannya bagi semua projek kerajaan, dengan penggunaan teknik dan teknologi terkini.


"Kerajaan juga perlu mempermudahkan proses mendapatkan pembiayaan melalui Digital Banking, selain mencari jalan bersama untuk mewujudkan rangkaian bahan binaan Bumiputera dengan kerjasama pemain industri yang sudah berjaya menerusi pembelian saham dalam syarikat berkaitan," katanya.


Beliau berkata, skop Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) juga wajar diperluas supaya menjadi lebih berkesan dalam usaha mengembangkan peranan kontraktor di negara ini.


Bajet 2023 dijadual dibentangkan pada Jumaat ini oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, di Parlimen pada jam 4 petang.


Tengku Zafrul sebelum ini menjelaskan, empat agenda utama menjadi tumpuan pembentangan Bajet 2023 iaitu kebajikan kepada rakyat, perniagaan, ekonomi dan institusi kerajaan.


Sumber: Berita Harian


12 views

Comments


bottom of page