SIBU: Kaunselor Majlis Perbandaran Sibu (MPS) digesa meningkatkan tahap usaha serta komitmen bagi membantu bandar ini mencapai status bandar raya menjelang 2030. Adun Bukit Assek Chieng Jin Ek berkata, enam bulan akan datang sehingga hingga Disember tahun ini, masa penting untuk 30 ahli MPS untuk bekerja keras memastikan agenda status bandar raya dapat dilaksanakan.
“Enam bulan akan datang merupakan tarikh penting kerana kita mempunyai visi mencapai status bandar raya pada 2030 sepeerti yang diputuskan oleh MPS,” katanya. Beliau berkata demikian ketika mewakili Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II Michael Tiang Ming Tee menyaksikan Majlis Angkat Sumpah Pelantikan Semula Ahli-ahli Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Sarawak bagi MPS untuk tempoh enam bulan lagi di Pejabat MPS, Wisma Sanyan di sini, pada Rabu.
Ahli-ahli MPS diketuai pengerusinya Kaunselor Clarence Ting Ing Horh yang dilanjutkan perkhidmatannya untuk tempoh enam bulan lagi bersama-sama 30 ahli majlis lain mengangkat sumpah pada majlis tersebut. Turut hadir Pemangku Setiausaha MPS Yong Ing Chu.
Beliau berkata, dengan adanya empat wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bandar ini selepas kemenangan pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) lalu, terdapat sejumlah RM30 juta dana pembangunan setahun untuk Sibu.
“Terutama dalam tempoh enam bulan ini, yang menuntut kami menunjukkan prestasi masing-masing dengan segera. Jadi sekarang kami mempunyai empat YB GPS bermakna kami mempunyai RM30 juta setahun.
“Jadi sekarang kami mempunyai banyak kerja untuk dilaksanakan termasuk pengerusi, ahli majlis dan pegawai kami. Kami perlu membelanjakan wang dengan baik dan menjaga kualiti projek,” tegas beliau. Menurut Chieng lagi, terdapat banyak projek besar dalam perancangan untuk Sibu dalam menuju kemajuan.
Ini, jelasnya, termasuk Pelan Pembangunan Semula Bukit Assek, pembesaran kawasan bandar dan komersial Sibu, menaik taraf infrastruktur, menaik taraf Bukit Lima sebagai taman penyelidikan semula jadi dan pembinaan bangunan baharu MPS melibatkan kos antara RM70 juta hingga RM100 juta.
“Projek-projek ini menandakan kemajuan Sibu. Saya berharap dengan semua kerja keras ahli majlis kita, dan pegawai termasuk rakyat, kita dapat merealisasikan wawasan untuk menaikkan status bandar kita kepada sebuah bandar raya di Sarawak,” tambah beliau.
Sumber: Sarawak Voice
Comentarios