
Ampang: Penduduk Kondominium Desaku 1 dan 3 membantah cadangan pihak pemaju Binastra Sdn Bhd melakukan pembangunan bersebelahan kawasan kediaman itu kerana mengancam keselamatan penduduk termasuk di Kemensah Heights di sini.
Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Kondominium Desaku 1 dan 3 Azra Rizal Noor Azman berkata, bantahan itu dibuat atas beberapa alasan seperti laluan keluar masuk utama ke kawasan Kemensah hanya selebar kira-kira 12 meter.
"Ia tidak wajar bagi Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) meluluskan pembangunan densiti tinggi sedangkan jalan sedia ada untuk pembangunan densiti rendah dan keputusan itu dibuat tanpa mengambil kira keupayaan akses ke kawasan ini.
"Selain itu, lot 18631 dibenarkan untuk densiti lapan unit per ekar. Namun, pemaju mencadangkan densiti 80 unit per ekar dan ia jauh lebih tinggi daripada densiti dibenarkan dalam Pelan Tempatan MPAJ 2020.
"Kami akan membantah kepada Lembaga Rayuan Negeri Selangor jika MPAJ meneruskan kelulusan permohonan ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MPAJ Norhayati Ahmad memaklumkan pihaknya baru menerima permohonan daripada pihak pemaju berhubung perkara itu.
"MPAJ belum lagi memproses permohonan berkenaan untuk kelulusan. Kami baru menjalankan proses pendengaran bantahan daripada penduduk," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Sumber: Harian Metro
Yorumlar