Bantah bina kondominium


TRAGEDI kondominium Highland Towers runtuh di Ulu Klang, Selangor pada 1993 meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja terhadap ahli keluarga mangsa tetapi seluruh rakyat Malaysia. – UTUSAN

SAUDARA PENGARANG,

BANTAHAN terhadap projek pembangunan dua blok kondominium 41 tingkat yang terletak di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dibuat ekoran kebimbangan penduduk terhadap kawasan projek yang berisiko berlaku tanah runtuh selain tidak mahu tragedi Highland Towers yang pernah berlaku di kawasan Bukit Antarabangsa berulang.


Projek yang telah dimulakan pada 2016 itu difahamkan digantung sementara berdasarkan Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) terakhir pada 18 Ogos 2016 yang diadakan di Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).


Pun begitu, MPAJ memberitahu bahawa projek tersebut diluluskan dalam mesyuarat pada 8 Januari tahun lepas.


Sebagai penduduk yang menetap berhampiran kawasan tragedi Highland Towers pada 1993 yang mengorbankan 46 orang, masih lagi segar dalam ingatan dan terbayang-bayang bagaimana pihak berkuasa menjalankan operasi menyelamatkan mangsa.


Keadaan ketika itu begitu pilu apabila terdapat ahli keluarga yang meraung, ada yang termenung dan tidak kurang yang tidak putus berdoa mengharapkan keajaiban berlaku.


Justeru, apabila berlaku insiden pokok tumbang terkena kereta orang awam disebabkan kerja-kerja yang dijalankan di situ baru-baru ini, saya amat risau kerana kawasan itu sudah ada ‘sejarah hitam’.


Saya memahami pihak pemaju memilih kawasan tersebut untuk dibangunkan kerana gaya hidup masyarakat yang sentiasa mahu kelihatan mewah dengan menghuni di lereng bukit dan tanah tinggi, namun ia amat tidak sesuai dengan topografi kawasan berkenaan walaupun mendapat permintaan yang tinggi.


Ini kerana semasa tragedi Highland Towers, pakar geologi, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo pada ketika itu menyatakan bahawa topografi kawasan itu yang berbukit, keadaan geologi dan jenis tanah yang tidak stabil menggalakkan berlaku tanah runtuh, malah tanahnya bukan batu yang kuat tetapi tanah bercampur pasir.


Berdasarkan kajian tersebut, saya berpendapat bahawa sebarang projek pembinaan di kawasan itu akan mendedahkan penduduk kepada bahaya.


Langkah kerajaan mengumumkan untuk membina 50 banglo dan sebuah taman rekreasi di kawasan tragedi Highland Towers baru-baru ini turut mendapat bantahan daripada pelbagai pihak termasuk penduduk setempat. Sehingga kini, projek itu terpaksa ditangguhkan kerana pelbagai isu.


Saya berharap pihak berwajib meneliti semua projek pembinaan tersebut dengan mengutamakan keselamatan orang awam. Jangan disebabkan mengejar keuntungan kerana projek itu dibina di kawasan ‘panas’ dan mewah, kebajikan penduduk berdekatan dan orang awam diabaikan.


PENDUDUK RISAU Bukit Antarabangsa, Selangor


Sumber: Utusan Malaysia

157 views0 comments

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2021 EvolusiBina. All rights reserved.