top of page

Bangunkan projek hartanah di Sarawak guna BIM


Gambar hiasan

KUCHING, 10 Nov: Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) perlu menggunakan Permodelan Maklumat Bangunan (BIM) untuk membangunkan projek hartanah di wilayah ini.


Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penggunaan BIM penting untuk melanjutkan penyelidikan di luar pasaran hartanah.


“Saya ingin mencadangkan SHEDA melanjutkan penyelidikannya di luar pasaran hartanah.


“Dunia kini dipacu oleh Kecerdasan Buatan (AI) dan SHEDA perlu mencari pelbagai cara untuk memenuhi permintaan pasaran masa kini dengan salah satunya adalah menggunakan BIM.


“Gunakan platform ini untuk menyelesaikan keadaan tanah yang sukar supaya pembangunan tanah pilihan menjadi lebih luas. Minta reka bentuk daripada arkitek anda yang memanjangkan kitaran hayat bangunan,” katanya.


Pada masa sama, beliau mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menggunakan keadah sama bagi pembinaan jalan raya.


“Saya mengarahkan JKR menggunakan BIM supaya mereka boleh mensimulasikan keseluruhan konsep dan juga mengelak berlaku kelemahan tertentu semasa melaksanakan infrastruktur pembinaan jalan raya.


“Justeru, saya ingin melihat sektor swasta bersama dengan sektor kerajaan untuk kita menggunakan platform sama dari segi reka bentuk dan penyimpanan data terutamanya di perbandaran baharu,” ujarnya.


Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak kini memfokuskan kepada pengangkutan awam seperti Projek Transit Aliran Autonomi (ART) Kuching untuk jangka masa panjang bagi membuka kawasan baharu.


“Dengan adanya ART, kita dapat membuka kawasan baharu antara Kuching dan Samarahan. Selain dapat menghubungkan penduduk di antara dua kawasan tersebut.


“Begitu juga dengan pembinaan Jambatan Kemena dan Tanjung Manis yang akan siap pada tahun hadapan. Dengan siapnya dua jambatan ini kelak kita akan dapat membuka laluan baharu selain dapat menjimatkan masa perjalanan,” jelasnya.


Sumber: TVS

Comments


bottom of page