top of page

Bangunan runtuh: ‘Projek baru seminggu sudah siap setingkat’ – Penduduk



MELAKA – “Bunyi dentuman itu kuat sampai bergegar rumah di flat ini sebelum jiran panggil beritahu bangunan tiga tingkat yang sedang dalam pembinaan di sebelah blok kami runtuh.


“Tak silap saya, dalam masa seminggu sahaja projek mula sudah setingkat bangunan tiga tingkat itu berjaya disiapkan ,” kata Siti Hawa Ibrahim, 45.


Demikian cerita penghuni di Pangsapuri Banda Hilir 4, di sini mengenai kejadian runtuhan lantai tingkat satu bangunan berkenaan di Jalan Bukit Senjuang, petang semalam sehingga mengorbankan nyawa seorang pekerja manakala dua lagi cedera.


Menurutnya, kejadian berlaku hampir pukul 6 petang ketika dia sedang tidur di rumah bersama anak perempuannya.


“Tiba-tiba sahaja blok kami bergegar dan terkejut lepas jiran beritahu bangunan di sebelah runtuh dan ada tiga pekerja warga asing tertimbus di bawah runtuhan itu.


“Sebelum ini, tidak pernah pula dengar apa-apa kejadian runtuhan tapi memang pembinaanya cepat dalam masa seminggu sahaja sudah naik (setingkat) daripada tiga tingkat,” katanya.


Malam tadi, MalaysiaGazette melaporkan seorang pekerja warga Bangladesh maut manakala dua lagi cedera dalam runtuhan bangunan tiga tingkat itu yang sedang dalam pembinaan.


Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit dilaporkan berkata, dalam kejadian berlaku kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa maut dikenali Jidan, 22, yang ditemukan tersepit dengan kecederaan pinggang ke bawah.


Mangsa ditemukan tersepit kira-kira pukul 9.55 malam sebelum pasukan penyelamat berjaya terdiri daripada 81 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Temu dan BBP Melaka Tengah berjaya mengeluarkan mangsa pada pukul 12.16 tengah malam.


Sebelum itu, dua warga Pakistan masing-masing berusia 32 dan 49 tahun berjaya dikeluarkan dari celahan runtuhan tingkat satu bangunan itu pada pukul 6.40 petang dan 8.45 malam.


Comments


bottom of page