top of page

Bangunan pejabat ditukar jadi pusat hiburan


IPOH: Pelan asal bangunan pusat hiburan yang mengorbankan enam nyawa termasuk dua lelaki warga tempatan di Times Square, Jalan Sultan Nazrin Shah, di sini adalah bangunan pejabat.


Bagaimanapun pemilik premis tidak mengemukakan pertukaran status sejak bertukar hak milik lebih 10 tahun lalu.


Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon, berkata beliau dimaklumkan bangunan berkenaan asalnya adalah milik syarikat pemaju hartanah yang pejabatnya terletak bersebelahan dengan premis terbabit.


Katanya, selepas syarikat pemaju hartanah menjual kepada pemilik baharu, pihaknya tidak menerima pelan untuk pindaan bangunan daripada pemilik berkenaan.


“Pelan asal yang ada dalam simpanan bomba adalah bangunan pejabat namun blok bangunan (pusat hiburan) itu sudah dijual kepada pemilik baharu, jadi bangunan itu ada berlaku ‘change of use’ (perubahan kegunaan) untuk pusat hiburan.


“Bagaimanapun, kita masih menyiasat sama ada mereka ada mengemukakan pelan untuk pindaan dan kalau ikut pelan asal pejabat, ia mempunyai ‘hose reel’ dan alat pengesan asap,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.


Dalam kejadian pada jam 5.30 pagi itu, dua lelaki warga tempatan iaitu Tai Chee Kin, 36, dan Lau Wai Hoong, 37, ditemui maut di tingkat lima premis berkenaan.


Turut ditemui maut, dua wanita warga Vietnam iaitu Ngu Yen Thi Trang, 19, dan Ngu Yen Thi Thuy Dhong, 20, serta lelaki warga Bangladesh dan seorang lagi lelaki yang identitinya belum dikenal pasti ditemui di tingkat empat premis berkenaan.


Sayani berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian pihaknya dimaklumkan seramai 14 individu terperangkap dalam bangunan berkenaan.


“Anggota berjaya mengawal kebakaran yang berpunca di tingkat empat premis dan siasatan awal mendapati mangsa yang menyedari kebakaran itu berlari ke tingkat lima.


“Seramai lapan mangsa terperangkap berjaya diselamatkan namun dua daripadanya mengalami sesak nafas yang teruk dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menerima rawatan,” katanya.


Menurutnya, bomba menemui dua lelaki tempatan di tingkat lima bangunan dan berjaya menurunkan kedua-dua mayat pada jam 6.09 pagi.


“Selanjutnya, anggota bomba membuat pemeriksaan di tingkat empat bangunan berkenaan dan menemui empat lagi mayat mangsa.


“Mayat seorang wanita warga Vietnam ditemui dalam sebuah bilik manakala seorang lagi wanita warga Vietnam dan seorang lelaki warga Bangladesh serta seorang lagi lelaki yang identitinya belum dikenal pasti ditemui dalam bilik air, bilik sama sebelum kesemuanya berjaya dibawa keluar jam 11.40 pagi,” katanya.


Sayani berkata, semua mangsa yang maut dipercayai disebabkan sesak nafas akibat asap tebal namun satu daripada mayat lelaki tempatan yang ditemui mengalami sedikit kesan lecur.


Beliau berkata, ketika operasi dijalankan, bomba terpaksa mengambil masa kira-kira dua jam untuk memecahkan dinding dan cermin bangunan bagi membebaskan udara sebelum operasi mengesan empat lagi mangsa yang maut.


Sumber: Berita Harian


31 views
bottom of page