top of page

Bandar Cassia pembangunan baharu PDC


Bandar Cassia pembangunan baharu PDC Berita Harian www.bharian.com.my
Bandar Cassia, Batu Kawan seluas 6,326 ekar adalah kawasan pembangunan bandar baharu Penang Development Corporation (PDC) yang ketiga. - Foto PDC

BANDAR Cassia, Batu Kawan seluas 6,326 ekar adalah kawasan pembangunan bandar baharu Penang Development Corporation (PDC) yang ketiga selepas Bandar Bayan Baru dan Bandar Seberang Jaya.


Sebelum ini, Batu Kawan adalah kawasan perladangan kelapa sawit yang dimiliki oleh Batu Kawan Berhad (BKB).


Pada awal tahun 1990, PDC telah melaksanakan pengambilan tanah melalui kerajaan negeri bagi pembangunan PDC melalui Akta Pengambilan 1960.


Setelah 32 tahun berlalu, pelbagai usaha perancangan telah dilaksanakan oleh PDC dengan mengemaskini pelan induk pembangunan berdasarkan permintaan dan keperluan semasa.


Komponen utama pembangunan adalah meliputi perumahan, komersial, pembangunan bercampur, perindustrian, rekreasi, infrastruktur, kemudahan awam dan lain-lain. Bandar Cassia berkonsepkan Smart Eco City yang berteraskan 'Live, Work, Play & Learn'.


Projek pemangkin pertama di Bandar Cassia adalah pembinaan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah yang dibuka pada 1 Mac 2014 dan sepanjang 24 kilometer (km) menghubungkan Batu Kawan di Seberang Perai serta Bayan Lepas.


Bagi menarik populasi ke Bandar Cassia, PDC telah membuka Taman Perindustrian Batu Kawan (BKIP) seluas 1,151 ekar untuk menempatkan pelbagai syarikat multinasional dan tempatan sekali gus menjana peluang pekerjaan kepada rakyat.


Destinasi tarikan pelabur

Di samping itu, PDC bersama Invest Penang juga mempromosikan kawasan perindustrian BKIP ini ke arah teknologi tinggi dan industri intensif kemahiran bagi memastikan Pulau Pinang menjadi destinasi tarikan pelabur.


Selain itu, PDC juga telah merancang kawasan perindustrian baharu seluas 318 ekar yang akan menjadi satu kawasan perindustrian yang berkonsepkan 'Taman Perindustrian Terurus Bertaraf Dunia' di Bandar Cassia yang dikenali sebagai Bandar Cassia Technology Park (BCTP).


BCTP dirancang lengkap dengan elemen Bandar Pintar seperti rangkaian 5G, smart pole, sekuriti, makanan dan minuman, tempat letak kenderaan berpusat, tenaga kerja dan sebagainya akan diuruskan oleh satu badan berkuasa yang dikenali sebagai 'Industrial Park Management'.


Bagi memastikan Bandar Cassia dibangunkan secara holistik, PDC sudah melaksanakan pelbagai projek infrastruktur utama seperti jalan raya, bekalan air, bekalan elektrik, pusat rawatan kumbahan dan sebagainya.


PDC menyasarkan pertumbuhan penduduk hingga 250,000 orang di Bandar Cassia.


Bagi tujuan ini, pelbagai pembangunan bersama pemaju swasta turut diperkenalkan. Antaranya adalah projek pembangunan IKEA, Design Village Outlet Mall, UOW University, Pembangunan Bercampur oleh Aspen Vision City dan Eco Horizon.


PDC juga komited membangunkan perumahan mampu milik (AHS) sejumlah 11,800 unit yang akan dibangunkan secara berfasa.


Selain itu, PDC juga merancang untuk membangunkan Hub Kesihatan (Medical Hub) yang mempunyai fasiliti kesihatan, penyelidikan, hospital pakar, pusat pemulihan dan pusat pendidikan yang bertaraf antarabangsa.


Cadangan ini adalah perancangan jangka panjang dalam tempoh 10 tahun yang akan datang.


Dalam usaha yang sama, PDC sedang mempromosikan cadangan pembangunan eko pelancongan di kawasan Utara Bandar Cassia.


Cadangan ini untuk melengkapkan Bandar Cassia sebagai destinasi pilihan bagi 'Live, Work, Play and Learn'.


Potensi Bandar Cassia dalam pembangunan sosio ekonomi Pulau Pinang tidak dapat dinafikan dan ia adalah hala tuju kerajaan negeri serta PDC agar Bandar Cassia dapat membangun secara mampan dan canggih.


Sumber: Berita Harian


5 views
bottom of page