top of page

Atasi segera masalah jalan ke Lapangan Terbang Sibu


ADUN Pelawan, David Wong Kee Woan (tiga dari kiri) mendengar penerangan dari wakil kontraktor ketika meninjau laluan jalan raya dari bandar Sibu ke Lapangan Terbang Sibu. - NSTP/Harun Yahya

SIBU: Usaha penambahbaikan laluan menghubungkan pusat bandar ke Lapangan Terbang Sibu yang turut terbabit dalam Projek Lebuhraya Pan Borneo, di sini perlu dilaksanakan segera untuk kemudahan orang ramai, khususnya pengguna jajaran itu.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan, David Wong Kee Woan, berkata antara perkara perlu ditangani segera ialah kekurangan lampu jalan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya, terutama pada waktu malam.


“Pemantauan kita mendapati laluan dari pusat bandar ke Lapangan Terbang Sibu agak gelap walaupun pihak kontraktor memaklumkan sebanyak 30 lampu jalan jenis solar sudah dipasang di sepanjang jajaran itu.


“Perbincangan sudah diadakan bersama kontraktor dan kita meminta mereka menambah lampu jalan sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR), selain kepentingannya terhadap keselamatan pengguna laluan berkenaan,” katanya selepas meninjau lokasi itu, di sini.


Katanya, kontraktor juga perlu mempercepatkan pembinaan jalan raya berhampiran persimpangan masuk ke Lapangan Terbang Sibu.


“Terdapat kerja-kerja pembinaan pembentung kira-kira 600 meter dari lokasi persimpangan itu. Ia menyebabkan laluan sehala dua lorong itu terpaksa ditutup separuh dan pengguna terpaksa bergilir menukar lorong dan keadaan agak berbahaya.


“Kontraktor memaklumkan mereka akan mempercepatkan kerja agar kedua-dua lorong dibuka menjelang Oktober depan dan saya berharap mereka mengotakan janji itu,” katanya.


Beliau turut menegaskan projek kerajaan perlu memenuhi keperluan asas orang awam dengan keutamaan diberikan kepada isu keselamatan dan disiapkan mengikut jadual.


“Projek Lebuhraya Pan Borneo antara projek besar dan pelaksanaannya memberi kesan kepada kehidupan normal penduduk terutama apabila berlaku masalah luar jangka membabitkan sistem perparitan dan tanah runtuh.


“Justeru, projek ini harus disiapkan mengikut jadual dan sebarang kelewatan boleh menyebabkan lebih banyak kesulitan,” katanya.



8 views
bottom of page