top of page

Apa masalahnya Maju Holdings ambil alih PLUS?



NAMPAKNYA ada pihak yang tidak senang duduk dengan tawaran Maju Holdings Sdn. Bhd. (Maju Holdings) yang mahu mengambil alih PLUS Malaysia Bhd. (PLUS).


Pihak berkenaan menentang pengambilalihan itu konon-kononnya bagi memastikan konsesi di lebuh raya berkenaan tidak lagi dipanjangkan demi merealisikan janji manifesto kerajaan Pakatan Harapan yang mahu melaksanakan ‘bebas tol’ di negara ini.


Terbaharu, Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai senada dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menolak mentah-mentah penawaran oleh Maju Holdings berkenaan. Apa masalah mereka sebenarnya?


Masalahnya, sebelum ini tiada siapa pun yang menghalang niat kerajaan untuk mengambil alih empat konsesi tol daripada Gamuda Bhd. dengan nilai RM6.2 bilion, sebaliknya, bagi isu pengambilalihan PLUS, ia ditentang pula.


Perkara ini dilihat seperti ada yang tidak kena dan membuka kepada peluang dan ruang monopoli oleh sesetengah pihak sedangkan di bawah kerajaan baharu, tiada amalan monopoli dibenarkan.


Pokok pangkalnya di sini bukan berkaitan tempoh konsesi PLUS akan lebih panjang jika diambil alih, sebaliknya sejauh mana syarikat Maju Holdings mampu menguruskan lebuh raya itu dengan lebih cekap, berdaya saing dan teratur.


Selain itu, Maju Holdings turut mempunyai rekod prestasi dan pengalaman perniagaan yang terbukti sama ada di dalam mahu pun di luar negara.


Kumpulan syarikat itu juga kini terlibat dengan meluas dalam bidang pembinaan, infrastruktur, hartanah dan perkhidmatan.


Penglibatan syarikat berkenaan dalam infrastruktur terbukti melalui pengoperasian Maju Expressway (MEX) yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Cyberjaya dan Putrajaya serta tidak lama lagi sehingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2.


Persoalannya, adakah Maju Holdings merupakan sebuah syarikat berpengalaman akan menjejaskan reputasinya sebagai sebuah konglomerat dengan pelbagai isu berbangkit jika mengambil alih PLUS?

Cadangan penawaran ini telah dinyatakan Maju Holdings sejak pertengahan 2017 yang lalu, namun ditolak di peringkat Kementerian Kewangan pada waktu itu.


Rasionalnya, jika tidak bersungguh-sungguh dan komited, Maju Holdings tidak akan menyatakan sekali lagi penawaran itu kepada kerajaan baru-baru ini.


Pada kali ini, syarikat itu menawarkan empat cadangan penawaran dan kesemuanya bergantung pada pelanjutan tempoh konsesi lebuh raya berkenaan yang dijangka tamat pada 2038.


Maju Holdings mencadangkan pengurangan kadar tol sebanyak 25 peratus bagi mendapatkan pelanjutan tempoh konsesi 10 tahun atau pengurangan 30 peratus jika tempoh konsesi dilanjutkan selama 15 tahun sehingga 2053.


Ia juga menawaran pengurangan kadar tol 33 peratus jika tempoh konsesi dilanjutkan kepada 20 tahun atau pengurangan 36 peratus kadar tol untuk pelanjutan tempoh konsesi 30 tahun hingga 2068.


Apa yang penting, empat tawaran itu amat jelas menarik untuk dipertimbangkan kerajaan.



54 views
bottom of page