KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh MN Holdings Bhd memperoleh kontrak utiliti bawah tanah projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai RM13.09 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, MNHB berkata unitnya, Mutu Nusantara Sdn Bhd dilantik sebagai subkontraktor projek itu melalui surat penganugerahan daripada Rentak Segar Sdn Bhd.
Mutu Nusantara akan bertanggungjawab bagi kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) membabitkan kerja-kerja awalan serta penempatan semula kabel kuasa di Seksyen 9 (Selangor) dalam projek ECRL.
Projek ECRL sepanjang 665 kilometer itu mengandungi 59 terowong, merangkumi kerja-kerja pembinaan di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor selain direka bentuk untuk bebas banjir.
Kontrak EPCC akan bermula serta-merta dan disasarkan siap menjelang Julai 2024.
Pengarah Urusan MN Holdings, Loy Siong Hay, berkata ini merupakan kontrak pertama bagi syarikat yang menyediakan penempatan semula kerja-kerja kabel kuasa dalam projek ECRL.
"Kami akan terus membina pengalaman dan kepakaran selama 16 tahun dalam menyampaikan kerja-kerja utiliti bawah tanah serta kejuruteraan pencawang untuk projek infrastruktur utama," katanya.
Anugerah ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan, pendapatan sesaham, aset bersih sesaham dan penggearan syarikat.
Sumber: Berita Harian
Anak syarikat MN Holdings dapat kontrak ECRL
Hozzászólások