Kuala Lumpur: Seramai 41 orang penduduk Kampung Orang Asli Batu 12, Gombak terbabit dengan Projek Jajaran Rel Pantai Timur (ECRL) sedia berpindah ke penempatan baharu dilengkapi pelbagai kemudahan asas.
Dalam satu kenyataan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) berkata, satu sesi penerangan berkaitan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) berhubung pemindahan mereka diadakan bersama penduduk 30 Mei lalu.
Ia dihadiri Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Batu 12, Gombak dan Jawatankuasa Bertindak Orang Asli Gombak membincangkan beberapa isu berkaitan penempatan ini.
Katanya, penempatan baharu mereka terletak di Kompartmen 1, Hutan Simpan Hulu Gombak yang berada di antara Muzium Orang Asli dan Unit Logistik JAKOA seluas empat hektar.
Menerusi perbincangan, Malaysia Rail Link (MRL) perlu menanggung kos bagi penempatan baharu termasuk membina rumah, kuarters, prasarana dan kemudahan asas, serta membayar ganti rugi pokok yang ditebang bagi lokasi penempatan.
Selain itu katanya, kos perpindahan dari penempatan sedia ada ke lokasi baharu juga perlu ditanggung MRL.
"Pemindahan penduduk ini hanya akan dilaksanakan apabila kesemua syarat dan terma dipenuhi dan diselesaikan sepenuhnya.
"Jarak penempatan lama ke lokasi penempatan baharu sejauh 400 meter, serta kemudahan yang ada berhampiran seperti Hospital Orang Asli Gombak dan Muzium Orang Asli akan dikekalkan dan tidak terjejas dengan projek berkenaan," katanya.
Sementara itu, JAKOA turut mengadakan sesi perbincangan, taklimat dan libat urus bertujuan memberikan penjelasan dan mendapatkan maklum balas bersama penduduk.
Sumber: Harian Metro
Penduduk terjejas projek ECRL sedia berpindah
コメント