top of page

Aliran keluar dana asing berkurang kepada RM18.8 juta


KUALA LUMPUR: Pelabur asing adalah penjual bersih di pasaran ekuiti Malaysia, mengeluarkan RM18.8 juta antara Isnin dan Khamis lalu, berbanding RM263.5 juta dicatatkan pada minggu sebelumnya.


Ia adalah minggu kedua berturut-turut pelabur asing menjual ekuiti Malaysia, kata Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.


“Walaupun demikian, FBM KLCI telah melepasi paras halangan sebelumnya pada 1,700 mata dan pada masa ini, paras halangan pada 1,746.15 mata.


“Perkara utama yang perlu dilihat (pada masa depan) ialah pendapatan syarikat,” katanya kepada Bernama.


Mohd Afzanizam berkata, setakat ini, sentimen perniagaan pada Februari seperti yang ditunjukkan oleh Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan yang terkini bagi Amerika Syarikat (AS), Zon Eropah, Jerman dan Jepun, masing-masing merosot kepada 53.7 (Januari: 54.9), 49.2 (Januari: 50.5), 47.6 (Januari: 49.7) dan 50.3 (Januari: 48.5).


“Oleh itu, pendapatan syarikat dijangka mencatatkan pertumbuhan yang kukuh pada tahun ini,” katanya.


Seorang lagi penganalisis berkata, aliran keluar asing berterusan disebabkan pelabur menjadi lebih berhati-hati berikutan rundingan perdagangan yang sedang dijalankan antara China dan AS.


“Memandangkan tarikh akhir 1 Mac semakin hampir, sentimen berhati-hati menyelubungi pasaran berikutan paras kebimbangan pelabur meningkat bagi hasil yang positif berhubung rundingan perdagangan,” katanya.


Di peringkat tempatan, Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata hubungan diplomatik antara Malaysia dan China akan mencapai rundingan mengenai projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dan akan mengehadkan sebarang kelemahan sementara dalam pasaran ekuiti tempatan.


Nazri Khan berkata, kerjasama ekonomi yang kukuh antara Malaysia dan China telah membawa kepada kedua-dua negara meneruskan rundingan untuk mencapai hasil yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak bagi ECRL, dan hasil yang positif akan meningkatkan sektor infrastruktur, sebagai hasil langsung daripada keyakinan yang meningkat daripada pelabur tempatan dan asing.


Pada masa sama, tawaran oleh Bank China untuk menerbitkan bon Panda di China untuk Malaysia adalah petunjuk positif bahawa negara asing dan pelabur asing yakin terhadap kerajaan baharu.


Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata tahap minat dan keyakinan yang ditunjukkan oleh negara asing dalam memberikan pinjaman kepada Malaysia, tahap yang belum pernah dilihat sebelum ini, berbanding pentadbiran terdahulu.


Mengenai prospek ringgit, Nazri Khan berkata, unit tempatan dijangka diniagakan pada julat 4.05 hingga 4.00 berbanding dolar AS minggu depan, didorong oleh belian sederhana.


Pada Rabu, unit tempatan naik 140 mata asas, atau 18 peratus, kepada 4.0640/0700 berbanding dolar AS daripada 4.0780/0830 pada Selasa, paras tertinggi sejak 1 Ogos, 2018 apabila mencecah 4.0640/0680.


“Harga minyak mentah yang kukuh, sentimen pasaran yang positif di Malaysia dan keyakinan mengenai rundingan perdagangan AS-China mendorong ringgit untuk ditutup pada paras tertinggi dalam tempoh lebih enam bulan,” katanya.


Bagi minggu baru berakhir, terdapat beberapa pengumuman utama, termasuk pelantikan Jefferi M Hashim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Investment Bank Bhd, berkuat kuasa 1 Mac, dan Muzmi Mohamed dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif TH Plantations Bhd, berkuat kuasa 11 Februari, menggantikan Datuk Seri Zainal Azwar Zainal Aminuddin.


Sementara itu, Tenaga Nasional Bhd melanjutkan perkhidmatan Tan Sri Leo Moggie sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Bukan Bebas selama setahun, berkuat kuasa 12 Mac, tahun ini.


Pengumuman lain pada minggu ini, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.15 peratus untuk Simpanan Konvensional, dengan agihan dividen sebanyak RM43 bilion dan 5.90 peratus untuk Simpanan Syariah, dengan agihan dividen RM4.32 bilion.


Pengerusinya Tan Sri Samsudin Osman dilaporkan berkata ekuiti terus menjadi penyumbang utama pendapatan dengan 57.55 peratus berjumlah RM29.28 bilion, walaupun mengalami penurunan sebanyak 6.96 peratus, berbanding RM31.47 bilion pada 2017. - BERNAMA


Sumber: Berita Harian


11 views
bottom of page