KUANTAN - Akademi Industri Rel (RIA) Universiti Malaysia Pahang (UMP) masih menunggu perkembangan terkini sama ada Program Latihan Kemahiran Industri - Projek Laluan Rel Keretapi Pantai Timur (PLKI-ECRL) yang ditangguhkan sebelum ini diteruskan atau sebaliknya.
Pengarahnya, Ir Dr Fadzil Mat Yahaya berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang keputusan berhubung perkara itu walaupun kerajaan memutuskan projek mega tersebut akan diteruskan semula.
Menurutnya, sekiranya, ada keperluan daripada pihak kontraktor untuk meneruskan program tersebut, pihaknya bersedia untuk melaksanakannya berdasarkan keperluan semasa industri.
“Pada peringkat awal perlaksanaan projek ECRL dahulu, UMP dilantik sebagai koordinator program hasil rundingan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ketika itu dengan dengan Syarikat Malaysian Rail Link (MRL) dan China Communication Construction Company Limited (CCCC) selaku kontraktor.
“Melalui program PLKI-ECRL yang dilaksanakan sebelum ini, seramai 447 pelatih berjaya menamatkan latihan mereka sebelum program itu ditangguhkan atas permintaan kontraktor selepas kerajaan baharu di bawah PH membuat keputusan untuk mengkaji semula dan menangguhkan sementara projek tersebut,” katanya.
Fadzil berkata, walaupun tiada pengambilan baharu dan belum ada sebarang program latihan ditawarkan, RIA masih menjalankan program yang diamanahkan pihak universiti bagi memantapkan lagi fungsi dan peranan akademi dalam membangunkan tenaga kerja untuk industri rel di negara ini.
“RIA kini dalam proses menyusun dan merangka hala tuju untuk masa hadapan dengan mencari peluang keperluan latihan yang boleh ditawarkan berkaitan industri ini berdasarkan keperluan semasa.
“Sebagaimana tujuan penubuhan RIA ini, kita diberi tanggungjawab untuk pembangunan silibus, latihan profesional dan latihan industri, penyediaan tenaga pengajar, kemudahan latihan, penyelidikan dan pembangunan serta juga menyokong kepada agenda kebolehpasaran graduan institusi pendidikan tinggi (IPT),” katanya.
Menurutnya, latihan untuk industri ini dilihat tetap ada keperluannya selepas kerajaan memutuskan untuk meneruskan projek itu walaupun pada kos yang lebih rendah dengan perubahan jajaran berbanding pelan asal.
"Saya menyambut baik keputusan kerajaan meneruskan projek ECRL yang sebenarnya mampu memberi impak kepada ekonomi seperti yang dirancangkan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Comentarios