top of page

Akademi IBS pertama negara ditubuhkan di Terengganu


Gambar hiasan

KEMAMAN 20 Mei - Kerajaan menubuhkan Akademi Sistem Binaan Berindustri (IBS) pertama di Malaysia yang bertempat di Terengganu untuk memberi peluang kepada golongan muda mempelajari teknik pembinaan rumah berteknologi tinggi.


Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, langkah itu turut bertujuan melatih dan mendidik generasi muda menggiatkan pembinaan rumah berteknologi tinggi di negara ini pada masa akan datang.


“Pada peringkat awalnya, tapak Akademi IBS ini telah dibangunkan untuk kegunaan pembinaan perumahan PR1MA (Perumahan Rakyat 1Malaysia) tetapi apabila kerajaan baharu (Pakatan Harapan PH) ambil alih pentadbiran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), kerajaan telah memutuskan pembinaan perumahan PR1MA diatas tanah milik persendirian dibatalkan.

“Oleh kerana kilang IBS telah didirikan, maka kerajaan bersetuju kilang ini diteruskan dan dalam masa sama juga ia akan dijadikan Akademi IBS,” katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran Pusat Latihan Vokasional dan Sistem Binaan Berindustri (IBS) bertempat di Sany PC Manufacturing Sdn. Bhd., Kampung Meraga Beris, Kijal di sini hari ini.


Turut hadir, Timbalannya, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak; Pengurus Besar Kanan, Sektor Pembangunan Teknologi, CIDB Malaysia, Datuk Ir. Elias Ismail dan Pengarah Eksekutif Sany Construction Industry Development (Malaysia) Sdn. Bhd., Chang Bar Kuei.


Peringkat permulaan, Akademi IBS menawarkan seramai 150 orang mengikuti kursus IBS di Sany PC Manufacturing Sdn. Bhd. Kampung Meraga Beris, Kijal di sini selewat-lewatnya awal bulan Julai hadapan.


Jangka masa kursus yang ditawarkan oleh Akademi IBS iaitu selama tiga bulan dengan bayaran RM7,000 dan setiap permohonan hendaklah melalui KPKT di www.kpkt.gov.my.


Mengulas lanjut, Zuraida berkata, selain itu, akademi tersebut juga akan mendedahkan golongan muda dengan kepakaran membina rumah tanpa melibatkan kerja 3D iaitu ‘Dangerous, Dirty, Difficult’.


“Jadi mereka tidak perlu melalui kerja yang sukar sepertimana pembinaan rumah pada hari ini yang berdepan dengan kerja 3D.


“Ini juga turut membantu pemaju mengurangkan kebergantungan dengan tenaga kerja asing dalam industri pembinaan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya yakin sasaran kerajaan untuk mewujudkan sejuta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun ini akan dapat dijayakan dengan kepakaran tenaga kerja tempatan yang dilahirkan akademi tersebut.


Sementara itu, Zuraida menyeru pemaju untuk menggunakan sistem IBS dalam projek perumahan mereka pada masa akan datang.


“Kita mengalakkan semua pemaju peringkat negeri dan swasta menggunakan model IBS yang terbukti akan mempercepatkan pembinaan sesebuah rumah selain menjimatkan sehingga 40 peratus kos buruh,” katanya.



269 views
bottom of page