top of page

ABM peruntuk RM40 juta setahun biaya latihan belia


Graduan bergambar kenangan dengan tetamu kehormat serta rakan industri CIDB dan ABM.

HULU TERENGGANU - Akademi Binaan Malaysia (ABM) di bawah kendalian Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) melatih lebih 140,000 belia lepasan sekolah bagi tempoh bermula tahun 1999 hingga Jun tahun ini.


Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Kompetensi Kemahiran CIDB, Ir Raslim Salleh berkata, pelatih berkenaan dapat memenuhi keperluan tenaga kerja dalam industri pembinaan negara sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.


Menurutnya, setiap tahun CIDB membelanjakan peruntukan besar bagi tujuan pelaksanaan program latihan kemahiran di enam ABM seluruh Malaysia sejajar dengan kehendak Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) dilancarkan kerajaan bagi tahun 2016 hingga 2020.

"Harapan kami, belia yang ikuti program latihan di bawah pembiayaan CIDB dapat berikan sumbangan kepada keperluan tenaga mahir dan separuh mahir dalam industri pembinaan. Kira-kira RM40 juta setahun diperuntukkan untuk kita biaya latihan bagi program belia dan juga personel binaan.


"Bagi Pantai Timur, CIDB berikan tumpuan kepada latihan dalam bidang berkaitan industri minyak dan gas yang punyai permintaan tinggi terhadap tenaga kerja mahir," katanya.


Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Graduasi 2019 ABM Wilayah Timur bagi mewakili Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Datuk Ir Ahmad Asri Abdul Hamid di Dewan Besar ABM Wilayah Timur, Jenagur di sini hari ini.


Pada majlis berkenaan, seramai 220 pelatih menerima Sijil Latihan Kemahiran bagi program belia dan juga program personel binaan.


Hadir sama Pengarah CIDB Terengganu, Jasmi Salleh; Pengarah CIDB Kelantan, Anis Othman serta Ketua Pegawai Operasi ABM Wilayah Timur, Maliki Endut.

Raslim berkata, bagi tempoh sama daripada jumlah keseluruhan itu, hampir 24,000 orang adalah belia lepasan sekolah dilatih dalam 32 bidang kemahiran di bawah kendalian pihak ABM Wilayah Timur (ABMT).


"Mengikut tracer study yang dibuat, sebanyak 83 peratus lepasan pelatih ABMT telah terlibat dalam industri pembinaan dengan bekerja dalam bidang yang berkaitan," ujarnya.


Sementara itu, pada majlis graduasi itu, beliau berharap semua lepasan pelatih yang menamatkan program latihan akan dapat memberikan sumbangan untuk terus menceburkan diri ke dalam aktiviti berkaitan industri pembinaan.


Sumber: Sinar Harian


5 views
bottom of page