top of page

968 pemohon PPR masih gagal diami rumah


Gambar hiasan. - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Seramai 968 daripada 1,654 pemohon yang ditawarkan projek perumahan rakyat (PPR) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) masih belum mendiami kediaman berkenaan.


Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata ini kerana, keseluruhan permohonan terbabit masih menunggu tawaran unit kosong.


Katanya, beberapa faktor dikenal pasti menyebabkan unit kosong masih belum dapat diserahkan kepada pemohon terbabit seperti wujud penyewa sedia ada melepasi kadar kelayakan yang enggan keluar walaupun diarah berbuat demikian.


"Selain itu, masih terdapat unit rumah yang sedang dibaik pulih oleh DBKL daripada penyewa yang sudah tidak mempunyai kelayakan.


"Malah, tiada projek baharu PPR dibangunkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) atau siap yang boleh ditawarkan kepada penyewa yang semakin meningkat setiap tahun," katanya.


Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai bilangan permohonan PPR di Kuala Lumpur sudah diluluskan dan menunggu rumah serta langkah diambil ke atas penyewa sedia ada yang hilang kelayakan pada sesi lisan di Dewan Rakyat, hari ini.


Jalaluddin berkata, DBKL sedang giat melaksanakan penguatkuasaan secara berkala dan bersasar mengikut zon atau kawasan dikenal pasti bagi memastikan penawaran unit rumah bagi pemohon masih menunggu.


"Antara kesalahan dikenal pasti DBKL ialah penghuni tidak sah (PTS), penghuni tidak menetap (PTM) dan penyewaan semula unit kepada pihak ketiga.


"Selain itu, kes penyewa dikesan terbabit dengan penyalahgunaan dadah dan maksiat serta lain-lain kes yang melanggar peraturan DBKL," katanya.


Sumber: Berita Harian

2 views
EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2024 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page