top of page

6 'projek sakit' di Sarawak gagal siap ikut jadual


KUCHING: Enam projek infrastruktur bernilai RM1.677 bilion di Sarawak diklasifikasikan sebagai ‘projek sakit’ berikutan kelewatan kerja-kerja pembinaan sehingga gagal disiapkan mengikut jadual.


Menteri Kerja Raya, Baru Bian, berkata selain Hospital Sri Aman, projek lain yang bermasalah ialah Pusat Pembangunan Baka Induk Udang Galah di Santubong; Jalan Akses ke Empangan Baleh; Pos dan Kuarters Imigresen Ba’kelalan; Jejak Warisan dari Kampung Sungai Bintangor ke Esplanade Kuching dan Kuarters Depot Tahanan Imigresen Semuja.


“Jawatankuasa Majlis Tindakan Negeri (MTNG) Sarawak bersikap terbuka untuk memahami apa sebenarnya punca kepada kelewatan ini daripada pihak kontraktor. Mungkin mereka berdepan masalah kekurangan tenaga buruh atau kesukaran membawa masuk bahan berasaskan industri (IBS) ke kawasan pedalaman.


“Bagaimanapun, kita tidak akan memberi muka kepada kontraktor yang tidak kompeten, cuai dan malas,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan MTNG Sarawak, di Bangunan Akademi Percukaian Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kuching, di sini hari ini.


Fungsi MTNG Sarawak adalah menjamin pelaksanaan dasar, program dan projek kerajaan khususnya di bawah Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT), serta memastikan inisiatif semasa Kerajaan Pusat dapat diselaraskan, termasuk dipantau secara cekap dan holistik.


Sehingga kini, pembinaan Hospital Sri Aman pada tahap 37 peratus berbanding jadual asal iaitu 70 peratus membabitkan kos RM176.27 juta; Pusat Baka Induk Udang Galah di Santubong pada tahap 84.19 peratus, berbanding jadual 100 peratus membabitkan kos RM14 juta dan Jalan Akses ke Empangan Baleh pada tahap 51.14 peratus, berbanding jadual 77.66 peratus membabitkan kos RM1.419 bilion.


Selain itu, Pos dan Kuarters Imigresen Ba’kelalan pada tahap 36.25 peratus, berbanding jadual asal 60.12 peratus membabitkan kos RM20 juta; Jejak Warisan dari Kampung Sungai Bitangor ke Esplanade Kuching pada tahap 94.5 peratus berbanding jadual asal membabitkan kos RM2.5 juta dan Kuarters Depot Tahanan Imigresen Semuja pada tahap 54.63 peratus, berbanding jadual 73.4 peratus membabitkan kos RM46 juta.


Sementara itu, Baru berkata, keseluruhannya sejumlah RM17.25 bilion merangkumi 564 projek dan RM4.33 bilion diperuntukkan kepada Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11).


“Di bawah Pelan Tindakan 4 (RP4) dalam RMKe-11, sebanyak RM77 juta daripada peruntukan RM4.33 bilion sudah dibelanjakan untuk projek pembangunan di negeri ini.


“Sehingga 24 Februari lalu, sebanyak 81 projek berstatus dahului jadual, enam projek lewat jadual, 375 projek ikut jadual, 45 projek siap, lapan projek simpan perhatian dan 49 projek dalam pelaksanaan,” katanya.



43 views
bottom of page