top of page

5,000 kamera pengawasan di Kuala Lumpur



SEBANYAK 5,000 kamera pengawasan akan dipasang di Kuala Lumpur termasuk menaik taraf dengan keupayaan terkini menjelang tahun depan.


Ia turut dilengkapi Artificial Intelligence (AI), pengecaman wajah dan fungsi lain dengan sebahagian daripadanya diubahsuai sesuai dengan keperluan semasa.


Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, setakat ini terdapat 1,900 kamera digunakan untuk pemantauan lalu lintas termasuk 100 kamera untuk kawasan sering berlaku banjir, 270 bagi taman awam dan pengawalan vandalisme.


Katanya, 130 kamera lagi digunakan untuk River of Life dan 309 digunakan untuk pemantauan jenayah.


"Tapi yang penting semua kamera ini akan menyumbang ke arah menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya lebih selamat.



"Pada masa sama kita harap ia terus dipertingkatkan dan saya sudah minta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk dimasukkan di dalam perintah pembangunan iaitu apabila pemaju diluluskan pembangunan, mereka dikehendaki memasang kamera dengan spesifikasi tertentu supaya ratio rendah pada masa ini dapat kita tingkatkan," katanya ketika menggulung perbahasan peringkat kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.


Annuar berkata, Kuala Lumpur masih lagi ketinggalan jika dibandingkan dengan beberapa bandar lain di dunia.


"Bagi setiap 1,000 penduduk Beijing mempunyai 56 kamera, London (67), Singapura (15) dan Bangkok lima kamera.


"Kuala Lumpur masih lagi di belakang iaitu di bawah tiga kamera bagi setiap 1,000 penduduk," katanya.


Dalam perkembangan lain beliau berkata, Dasar Perumahan Awam yang khusus untuk DBKL akan digubal semula supaya lebih tersusun.


Katanya, keperluan perumahan di Kuala Lumpur begitu mendesak dan kementeriannya mensasarkan 80,000 unit rumah mampu milik dan dijangka dapat disiapkan sebelum 2028.


"Sehingga Jun 2020, sebanyak, 57,779 unit bagi 93 projek sudah dikeluarkan kebenaran merancang bagi membina rumah. Di Kuala Lumpur 54,111 unit, Putrajaya 2,908 dan Labuan sebanyak 780 unit. Daripada jumlah itu sebanyak 15,431 unit rumah di 26 projek sudah siap dibina.


"Sementara 27,332 unit rumah di 37 projek masih dalam pembinaan. Beberapa projek tergendala akibat keputusan pentadbiran terdahulu menamatkan projek secara pra matang dan sebagainya," katanya. Sumber: Harian Metro


9 views
bottom of page