Kajang: Kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak di jalan keluar dari Alam Sari dan Kampung Sungai Tangkas, di sini, mencabar kesabaran lebih 8,000 penduduk apabila situasi bertambah serius sejak awal tahun lalu.
Laluan yang mengalami kesesakan teruk membabitkan persimpangan lampu isyarat German-Malaysia Institute (GMI) dan persimpangan terowong di Kampung Sungai Tangkas berhampiran stesen KTM Komuter Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) antara 6.30 pagi hingga 8.30 pagi dan 5.30 petang hingga 7.30 malam, setiap hari.
Masalah itu bukan saja membelenggu penduduk Alam Sari, malah penduduk sekitar seperti Serene Heights, Kampung Sungai Tangkas, Taman Tropika dan Taman Universiti turut didakwa terjejas.
Pengerusi Gabungan Persatuan Penduduk Alam Sari, Laksamana Muda (B) Datuk Fadzilah Mohd Salleh berkata, masalah itu berlaku apabila pihak berkaitan membuka laluan Serene Heights-Alam Sari menyebabkan kenderaan dari Semenyih menjadikan ia sebagai jalan pintas untuk ke Bandar Baru Bangi dan Kajang.
Menurutnya, penduduk Alam Sari dan kawasan sekitar terpaksa menempuh kesesakan selama 30 hingga 40 minit untuk keluar dari Alam Sari ke Jalan Reko pada waktu puncak walaupun jaraknya hanya 2.5 kilometer (km) yang sebelum ini mengambil masa kira-kira tiga minit saja.
"Mungkin isu (kesesakan lalu lintas) ini agak remeh untuk pihak berkenaan tetapi bagi kami ia adalah masalah yang perlu diatasi segera dan kami juga tidak marah kenderaan dari kawasan lain melalui jalan ini.
"Tetapi kami berharap pihak berkenaan terutama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) dapat mengambil tindakan lebih proaktif bagi menyelesaikan masalah ini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya, pihaknya juga mengadakan pertemuan bersama MPKj yang turut disertai wakil rakyat, ahli majlis MPKj dan wakil pemaju bagi membincangkan masalah berkenaan pada 8 Disember lalu.
Dakwanya, pada pertemuan itu semua pihak bersetuju penyelesaian tuntas kepada masalah kesesakan di kawasan berkenaan adalah dengan membina jalan alternatif untuk keluar atau masuk ke Alam Sari dari Jalan Reko di mana ia akan bersambung dengan jambatan GMI.
"Wakil MPKj ada memaklumkan perancangan untuk membina jalan alternatif itu tidak dapat dilaksanakan pada masa ini memandangkan lokasi dicadangkan terlalu hampir dengan susur keluar projek Lebuhraya Putrajaya-Bangi Expressway (PBE) dan ia perlu selaras dengan pelan pembinaan PBE.
"Kami mengambil inisitiaf mengemukakan cadangan kepada MPKj sebagai penyelesaian jangka pendek kepada masalah kesesakan itu iaitu melebarkan jalan dan menambah lorong di persimpangan lampu isyarat GMl selain melebarkan jalan serta membuat garisan jalan lebih jelas di persimpangan terowong Stesen KTM Komuter UKM," katanya.
Katanya, pihaknya kemudian menghantar beberapa surat dan e-mel kepada pihak berkenaan, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan yang dilaksanakan untuk mengatasi masalah kesesakan itu.
"Sekarang ini banyak projek pembangunan rumah di kawasan ini dan kami bukan menolak pembangunan, tetapi kemudahan infrastruktur perlulah selaras juga.
"Kalau tidak diatasi segera, kami tak dapat bayangkan tahap kesesakan yang bakal dialami apabila perumahan baru akan siap nanti," katanya.
Katanya, pihaknya sedia maklum laluan bertingkat akan dibina di laluan berhampiran untuk mengurangkan kesesakan, namun pembinaannya mungkin akan mengambil masa lama.
Sementara itu, Harian Metro sedang berusaha untuk mendapatkan maklum balas daripada MPKj berhubung permasalahan ini.
Sumber: Harian Metro
40 minit 'sangkut' untuk jarak 2.5 km - Penduduk Alam Sari
Commentaires