KUALA LUMPUR: Tujuh Projek Perumahan Rakyat (PPR) membabitkan 4,400 unit sedang dalam pembinaan di Sabah, menjadikan negeri itu paling banyak PPR.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib, berkata hingga kini 31 projek membabitkan 21,699 unit siap dibina di negeri itu.
Bagi tujuh projek baharu, sebanyak 900 unit sedang dibina di PPR Ulu Perasan, Kota Belud; PPR Sapagaya, Lahad Datu (410 unit); PPR Pitas (440 unit), PPR Kg Kiansom Besar, Inanam (1,000 unit); PPR Tagasan, Semporna (500 unit).
"Selain itu, PPR Gayang II, Tuaran (500 unit) dan PPR Jalan Tungku, Lahad Datu (650 unit).
"Ada satu lagi projek PPR yang masih dalam perancangan kementerian iaitu PPR Batu Putih, Fasa II, Sandakan, Sabah," katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohamad Alamin (BN-Kimanis) yang mahu tahu adakah kerajaan bercadang untuk mewujudkan lebih banyak program perumahan rakyat di Sabah dan apakah status permohonan rumah mesra rakyat dan rumah mampu milik di Sabah.
Ismail berkata, hingga kini 2,102 permohonan diterima melalui sistem bagi projek PPR di Sabah, iaitu masing-masing 1,258 permohonan untuk PPR Batu Putih, PPR Sapagaya (577 permohonan) dan PPR Ulu Perasan (267 permohonan).
Secara keseluruhan katanya, sebanyak 142 projek PPR merangkumi 92,325 unit siap dibina di seluruh negara hingga 30 Jun lalu.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, ketika ini ada lagi program perumahan di negeri itu yang sedang dilaksanakan di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) membabitkan projek Rumah Mampu Milik (RMM) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR).
"Setakat 31 Mei tahun ini, sebanyak 9,988 unit RMM siap dibina, 275 unit dalam pelaksanaan dan 2,612 unit lagi dalam perancangan, manakala bagi RMR pula sebanyak 1,107 unit telah siap, 176 unit sedang dilaksana dan 197 unit dalam perancangan," katanya.
Mengenai penangguhan projek Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) di kawasan Kimanis yang dirancang sebelum ini, Ismail berkata, projek itu masih ditangguhkan berikutan penilaian kementerian mendapati kos pembinaannya terlalu tinggi dan dikhuatiri menyebabkan bakal pemilik tidak mampu membeli rumah terbabit.
Bagaimanapun kementerian bersedia meneliti semula projek berkenaan demi kepentingan dan keperluan rakyat di situ, katanya menjawab soalan tambahan Mohamad mengenai projek perumahan PR1MA di Kimanis yang ditangguhkan kerajaan terdahulu.
Sumber: Berita Harian
Comentarios