38 kerja tapak pembinaan disita


KOTA BHARU - Sejumlah 38 aktiviti kerja di tapak pembinaan disita, dikompaun dan dilakukan pendakwaan di mahkamah sepanjang Operasi Cegah dan Runtuh oleh pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Kelantan.


Timbalan Pengarahnya, Haizul Afta Masri berkata, turut dikeluarkan 51 notis larangan serta merta; 57 notis penambahbaikan dan 78 surat arahan kepada kontraktor atas pelbagai kesalahan di tapak pembinaan.


“Kesemua keseluruhan 186 tindakan itu diambil ke atas 22 tapak pembinaan dalam operasi di seluruh negeri bermula 4 hingga 20 Mac lalu.


“Operasi membabitkan 16 pegawai ini menumpukan kepada aktiviti berisiko tinggi seperti kerja-kerja di tempat tinggi dan konkrit di kawasan pembinaan,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Operasi Cegah Jatuh dan Runtuh di tapak pembinaan di Lembah Sireh di sini, hari ini.


Menurutnya, operasi juga bertujuan memastikan tahap pematuhan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Akta Kilang dan Jentera 1967 di tapak pembinaan.


“Sehingga 31 Mac terdapat 146 tapak pembinaan aktif di seluruh negeri dan permulaan fasa pertama, kami mengadakan pemeriksaan di 22 tapak pembinaan yang dipilih dan mengesan beberapa kesalahan yang membawa kepada tindakan sita dan mengeluarkan notis.


“Tindakan dibuat bagi memastikan langkah pencegahan diambil kontraktor dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja di tapak pembinaan serta tidak berlaku sebarang kemalangan di semasa bekerja,” katanya.


Haizul Afta berkata, sebanyak lapan kes kemalangan maut di tapak pembinaan direkodkan dan lima daripadanya disebabkan terjatuh dari tempat tinggi berdasarkan rekod dalam tempoh tiga tahun bermula 2016.


“Selainnya, sebanyak 60 kes dikenakan kompaun berjumlah RM141,800 terhadap pelbagai kesalahan dan pelanggaran perundangan.


“JKKP mahu mengingatkan serta menggesa semua pihak dalam industri pembinaan supaya menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan tapak pembinaan selamat dan mematuhi perundangan ditetapkan," katanya.


Sumber: Sinar Harian


#evolusibina #JKKP #keselamatan

58 views0 comments

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2021 EvolusiBina. All rights reserved.