
KUALA LUMPUR: Sebanyak 22 produk dan bahan binaan baharu yang mengikut standard terkini dimasukkan dalam pindaan Jadual Keempat Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (Akta 520).
Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) memaklumkan, produk dan bahan binaan baharu itu merangkumi satu produk di dalam kategori kaca, lima produk besi dan keluli, serta 16 produk komponen Sistem Binaan Berindustri (IBS) berserta dengan 28 standard tambahan.
Katanya, pindaan Jadual Keempat, itu diwartakan pada 10 September lalu dan mula dikuatkuasakan pada 13 September bagi mengemas kini senarai produk dan bahan binaan yang dikuatkuasakan.
"Pindaan ini bertujuan memastikan setiap produk dan bahan binaan digunakan mematuhi standard terkini yang ditetapkan untuk menjamin keselamatan dan kesihatan awam, serta melindungi pengguna daripada mendapat produk dan bahan binaan yang tidak berkualiti.
"Sebagai langkah memberi peluang kepada industri untuk lebih bersedia menghayati pindaan ini dan mengambil langkah sewajarnya, penguatkuasaan CIDB akan bermula pada Mac 2022.
"Surat Pekeliling berkenaan pemindaan dan tarikh kuat kuasa telah dikeluarkan kepada semua pihak sama ada individu atau organisasi yang berurusan, mengendalikan, menggunakan, mengilangkan, membekalkan, memasarkan, memindahkan, menjual atau membeli, sama ada secara borong atau runcit, mengimport atau mengeksport produk dan bahan binaan yang tersenarai dalam Jadual Keempat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut CIDB, Akta 520 memperuntukkan mana-mana pihak yang didapati bersalah berurusan dengan produk dan bahan binaan yang tersenarai di dalam Jadual Keempat tanpa perakuan CIDB boleh didenda tidak kurang RM10,000 tetapi tidak melebihi RM500,000.
"Permohonan untuk mendapatkan Perakuan Pematuhan Standard (PPS) boleh dibuat melalui laman ccpm.cidb.gov.my.
"Perintah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (Pindaan Jadual Keempat) 2021 boleh dimuat turun dari laman web rasmi CIDB.
"Untuk maklumat lanjut, sila hubungi CIDB Careline di talian 03-55673300," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments