KUALA LUMPUR: Sebanyak 20 projek perumahan swasta 'sakit' membabitkan 1,784 unit rumah berjaya diselesaikan sehingga menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), setakat 28 Februari lalu.
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata dalam tempoh itu juga Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenal pasti 145 projek perumahan swasta yang lewat dan 436 projek sakit daripada sejumlah 3,117 projek perumahan swasta berlesen.
Beliau berkata, statistik terkini susulan mesyuarat Task Force Bil 3/2023 pada 15 Mac lalu itu menunjukkan pengurangan projek sakit berbanding 31 Januari lalu membabitkan 166 projek perumahan swasta lewat dan 437 projek sakit.
"Selain itu, enam projek sakit membabitkan 2,241 unit dipantau dengan rapi sehingga ia dikategorikan sebagai projek lancar.
"Ini pencapaian positif sejak penubuhan Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai," katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, hari ini.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan statistik bagi projek perumahan swasta lancar, lewat dan sakit sentiasa mengalami perubahan status kemajuan bagi setiap bulan berikutan data yang dinamik serta pertambahan projek baharu yang dilesenkan.
Akmal berkata, terdapat lima projek terbengkalai yang kini berjaya dikeluarkan daripada senarai kategori itu termasuk Dolomite Park Avenue di Gombak, Taman Petaling Utama di Selangor, Casa Melati di Gombak dan Lot 5918-5927 Mukim Bukit Besar, Kuala Terengganu.
Katanya, kejayaan itu menjadikan status terkini projek perumahan swasta terbengkalai adalah 110 projek membabitkan 23,563 unit rumah dan 13,931 pembeli.
"Antara kaedah pemulihan projek terbengkalai yang dilaksana KPKT adalah memastikan penyiapan projek sehingga memperoleh CCC, penyelesaian pembeli dan penukaran pemajuan," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, peruntukan pembangunan (DE) tambahan 'one off' berjumlah RM20 juta sudah diluluskan kepada KPKT yang disasarkan untuk memulihkan projek terbengkalai bagi rumah siap diduduki tetapi tanpa perolehan CCC.
"Jadi, KPKT mengharapkan komitmen kerajaan negeri untuk mengenal pasti projek yang sesuai dan berupaya untuk dipulihkan pada tahun ini bagi memelihara kesejahteraan pembeli rumah yang terjejas," katanya.
Sumber: Berita Harian
Opmerkingen