top of page

2 'datuk' pengarah syarikat ditahan kes tuntutan palsu RM800 juta


Harian Metro

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menahan dua pengarah syarikat bergelar datuk berhubung siasatan tuntutan palsu projek naik taraf jalan raya pedalaman di Sarawak.


Sumber berkata tuntutan itu membabitkan pelaksanaan 10 projek jalan negeri di pedalaman Sarawak di bawah Kementerian Pertahanan.


Difahamkan, kesemua projek berkenaan bernilai lebih RM800 juta.


Ia membabitkan projek pembinaan jalan menghubungkan beberapa bandar kecil di Sarawak yang dikenali sebagai 'Projek Jiwa Murni' di bawah kementerian berkenaan dan ia dianugerahkan kepada syarikat itu sejak tahun 2010 hingga 2016.


Daerah serta kawasan yang terbabit adalah di Miri, Kapit, Ba'kelalan, Limbang dan Belaga.


Dua pengarah berusia 44 tahun itu adalah rakan kongsi dan ditahan dalam satu operasi khas SPRM dengan kerjasama Kementerian Pertahanan di Kuching, Sarawak, hari ini


"Kedua-dua pengarah itu adalah rakan kongsi yang memiliki tiga syarikat, yang dikesan memonopoli projek itu," katanya.


Sumber berkata, banyak aduan yang diterima daripada masyarakat setempat mengenai keadaan jalan yang teruk disebabkan kualiti pembinaan yang tidak menepati spesifikasi.


"Siasatan di lokasi mendapati ada jalan yang berada dalam projek itu tidak lagi dapat digunakan serta rosak meskipun ia baru siap dibina, beberapa bulan sebelum itu.


"Malah kajian teknikal yang dilakukan mendapati ia tidak menepati piawaian pembinaan yang ditetapkan oleh Jabatan Kerja Raya, memandangkan lapisan tar yang digunakan dianggarkan setebal lima sentimeter malah tiada lapisan batu kerikil dan pasir seperti dalam syarat kontrak," katanya.


Beliau berkata keadaan itu menyebabkan jalan yang dibina itu cepat rosak kerana dilalui kenderaan berat termasuk lori balak malah ia tidak dapat digunakan kenderaan ringan meskipun tujuan asal dinaikkan taraf sebagai jalan penghubung antara kawasan pedalaman.


"Mereka yang bertanggungjawab dalam kegagalan projek ini harus dikenakan tindakan termasuk disenarai hitam daripada memperoleh projek lain," kata sumber.


SPRM melakukan siasatan mengikut Seksyen 16 (b), 17 (a) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.


Kedua-dua suspek terbabit akan dibawa ke mahkamah esok untuk perintah tahanan reman.


Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.


Katanya, siasatan dilakukan kerjasama Kementerian Pertahanan selepas laporan audit dalaman kementerian menunjukkan kegagalan projek berkenaan.



138 views
EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2024 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page