top of page

149 projek binaan belum operasi


FADILLAH Yusof (tengah) dan Mustapa Mohamed (kiri) menunjukkan isyarat bagussemasa menghadiri sesi libat urus penggiat industri pembinaan di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 149 projek pembinaan masih belum beroperasi bagi tempoh 20 April sehingga 20 September lalu.


Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, maklumat itu diperoleh hasil lawatan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) di 7,590 tapak binaan.


Katanya, sebanyak 45 daripada 149 tapak binaan tersebut tidak dapat beroperasi kerana faktor kewangan syarikat yang tidak kukuh.


“Kementerian dimaklumkan bahawa kurangnya kemudahan dan tiada kelonggaran syarat atau pertimbangan khusus diberikan oleh pihak bank kepada syarikat pembinaan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.


“Kita sangat prihatin dengan situasi dan cabaran dihadapi oleh penggiat industri pembinaan pada masa ini. Justeru itu, pelbagai usaha dan inisiatif dilaksanakan bagi membantu pemulihan sektor pembinaan yang terjejas tersebut,” katanya semasa berucap dalam sesi libat urus penggiat industri di sini hari ini.


Yang hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.


Sesi libat urus itu adalah sesi yang kedua diadakan bagi memenuhi aspirasi kerajaan untuk mengukuhkan sinergi kerjasama antara kerajaan, penggiat industri serta pelbagai pihak berkepentingan.


Mengulas lanjut, Fadillah berkata, antara isu yang dihadapi industri pembinaan adalah majoriti bilangan syarikat yang berdaftar dengan CIDB terdiri daripada kelas G1-G5 iaitu sebanyak 88.7 peratus dikategorikan sebagai usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).


Jelasnya, masalah itu juga didorong oleh kebergantungan yang tinggi kepada pekerja asing iaitu seramai 438, 264 orang berbanding sektor lain.


“Selain itu, penggunaan teknologi yang rendah serta kos overhead yang tinggi,” katanya.



8 views
bottom of page