top of page

121 projek infrastruktur diteruskan dengan penjimatan kos RM805.9 juta


PUTRAJAYA: Sejumlah 121 projek infrastruktur bernilai RM13.9 bilion di seluruh negara yang ditawarkan secara rundingan terus dan tender terhad oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini akan diteruskan dengan penjimatan kos sebanyak RM805.9 juta.


Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata selepas rundingan semula harga oleh kerajaan ia diteruskan dengan unjuran jumlah keseluruhan nilai kontrak baharu adalah sebanyak RM13.1 bilion iaitu penjimatan kos sebanyak RM805.9 juta.


Katanya, 121 projek infrastruktur itu tidak termasuk projek mega seperti projek LRT3 dengan kos sebanyak RM31.65 bilion dan MRT2 (RM39.35 bilion) yang mana masing-masing dikurangkan harga kepada RM16.63 bilion dan RM30.53 bilion.


"Ini sekaligus menjimatkan kos keseluruhan sebanyak RM23.84 bilion untuk kedua-dua projek ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, Kementerian Kewangan pada 29 Jun tahun lalu mengumumkan beberapa langkah awal untuk meningkatkan tadbir urus perolehan kerajaan dan pengurusan kewangan negara.


"Antara langkah yang diperkenalkan adalah kajian semula projek yang ditawarkan secara tender terhad dan rundingan terus yang diputuskan oleh kerajaan terdahulu.


"Berdasarkan kajian semula itu, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan tender terbuka bagi projek tender terhad dan rundingan terus yang belum dikeluarkan Surat Setuju Terima (SST).


"Manakala, bagi 121 projek tender terhad dan rundingan terus yang telah dikeluarkan SST, perjanjian tambahan akan dimuktamadkan selewat-lewatnya penghujung bulan Mac setelah harga dirunding semula sebagai usaha rasionalisasi kos projek itu sekaligus mengurangkan tekanan kepada kedudukan fiskal kerajaan," katanya.


Katanya, kini semua perkara terperinci akan diuruskan oleh kementerian masing-masing yang mengendalikan projek itu dan tidak membabitkan Kementerian Kewangan lagi.


Beliau menjelaskan, mengambil kira perkembangan semasa ini, Kementerian Kewangan yakin pelaksanaan perolehan kerajaan secara tender terbuka pada masa akan datang akan memberi penjimatan kos dan nilai faedah terbaik kepada kerajaan dan rakyat.


"Kaedah lama pemberian kontrak dikekalkan, perbezaannya hanya tender terbuka dijalankan untuk menggantikan penganugerahan secara rundingan terus atau tender terhad melainkan ada faktor kecemasan, kepakaran tertentu yang diperlukan atau sebab-sebab khas.


"Contohnya, kaedah untuk tawaran kontrak kepada kontraktor Gred G1 (dahulunya dikenali sebagai Kontraktor Kelas F) masih sama, hanya ia dijalankan secara saingan terbuka di kalangan kontraktor Gred G1 dan bukan seperti dulu, iaitu menerusi rundingan terus ataupun dengan keperluan mendapat tandatangan persetujuan daripada Ketua Bahagian parti politik.


"Kementerian Kewangan akan sentiasa mengambil inisiatif yang komprehensif dalam memastikan pelaksanaan perolehan kerajaan selaras dengan prinsip cekap, akauntabiliti dan telus," katanya.



34 views
bottom of page