top of page

11 rumah rosak dipukul ribut


11 rumah rosak dipukul ribut

SEREMBAN 13 Jan. - Sebanyak 11 rumah di tiga taman perumahan dekat Sikamat, di sini mengalami kerosakan di bahagian bumbung akibat dipukul ribut dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang semalam.


Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri, Leftenan Kolonel (PA) Fazlisyah Muslim berkata, kawasan yang terlibat ialah Rumah Rakyat Sikamat, Taman Desa Permai dan Taman Desa Rhu.


“Sebanyak 34 mangsa tinggal di sembilan buah di Rumah Rakyat Sikamat manakala dua buah rumah masing-masing di Taman Desa Permai dan Taman Desa Rhu didiami oleh sembilan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Katanya, anggota APM telah bergegas ke lokasi membantu mangsa manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut mengagihkan khemah kepada mereka yang terlibat.


Bagaimanapun, tiada pusat pemindahan sementara dibuka kerana semua mangsa tidak mahu berpindah.


Sementara itu, Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jalan Jelebu, Mohammad Ibrahim Ahmad berkata, kejadian itu kerap berlaku kerana kawasan berkenaan menjadi laluan angin.


“Hampir setiap tahun beberapa rumah di kawasan ini dilaporkan rosak akibat dipukul ribut. Pada tahun 2017, lebih 15 rumah rosak tetapi tahun lalu tiada rumah yang dilaporkan rosak,” katanya.


Beliau berkata, kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan segera dengan melantik kontraktor bagi membaik pulih semua rumah penduduk yang rosak, bermula hari ini.



10 views
bottom of page