top of page

10 tanah kereta api bernilai RM2 bilion ditawar kepada pemaju


10 tanah kereta api bernilai RM2 bilion ditawar kepada pemaju
Gambar hiasan

10 tanah kereta api bernilai RM2 bilion ditawar kepada pemaju

KUALA LUMPUR: Sepuluh tapak bernilai lebih RM2 bilion milik Perbadanan Aset Keretapi (RAC) di enam negeri akan ditawarkan kepada swasta untuk dibangunkan yang dijangka mampu memberi pulangan besar kepada pendapatan negara.


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata semua aset bernilai itu letaknya di Selangor, Perlis, Johor, Kelantan, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.


Menurutnya, tanah-tanah persekutuan itu akan ditawarkan kepada swasta untuk dibangunkan secara komersial yang bukan sahaja menjana pendapatan negara tetapi memberi manfaat infrastruktur kepada masyarakat setempat.


Katanya, buat pertama kali RAC akan mengadakan pameran hartanah yang akan mempamerkan tanah-tanah bernilai tinggi khas untuk dinilai bagi tujuan pelaburan oleh syarikat swasta terkemuka negara.

Kerjaya Madani Politeknik Shah Alam

"RAC ialah penjaga yang diberi mandat untuk menguruskan, mentadbir dan menjaga aset-aset kerajaan seperti tanah di sekeliling kawasan stesen kereta api. Tanah itu boleh dijanakan untuk kerajaan memperoleh pendapatan yang tinggi.


"Oleh demikian, kita menjemput syarikat-syarikat swasta ini untuk menawarkan cadangan tertentu kepada kita untuk membangunkan tanah-tanah ini dengan pelaburan serta pembangunan komersial.


"Setakat ini, kita sudah ada 30 syarikat besar tersenarai dalam Bursa Malaysia untuk melihat potensi aset berkenaan," katanya pada Pameran Hartanah RAC 2023 dan Majlis Menandatangani Perjanjian Bagi Pembinaan Stesen Kereta Api Segambut 2 Antara RAC dan IDP Industrial Development Sdn Bhd di sini, hari ini.


Yang turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh merangkap Ahli Parlimen Segambut; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah; Ketua Setiausaha kementerian; Datuk Jana Santhiran Muniayan dan Ketua Pegawai Eksekutif RAC, Azhar Ahmad.


Mengulas lanjut, Anthony berkata pelaburan itu juga adalah pendekatan baharu yang dilaksanakan RAC dan kerajaan berbanding- kaedah perbincangan secara terus dalam pelaburan berkaitan aset kerajaan.


"Kita buka peluang kepada orang ramai untuk mengenali mana-mana tanah kerajaan yang boleh dilakukan pembangunan. Kaedah ini juga lebih telus disamping memaksimakan pulangan besar kepada kerajaan," katanya.


Anthony berkata, antara aset yang paling bernilai tinggi milik RAC adalah di Kempas Johor baharu yang ditawarkan untuk pembangunan komersial bernilai tinggi.


"Kita merasakan satu kerugian sekiranya tanah di situ dijadikan depo sahaja sebaliknya ia begitu sesuai untuk pembangunan komersial," katanya.


Anthony berkata pembangunan yang ditawarkan di tanah milik RAC perlu berasaskan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) iaitu kemudahan yang menghubungkan rakyat menggunakan kenderaan awam sebagai salah satu usaha mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian.


Menyentuh mengenai perjanjian antara RAC dan IDP, projek pembangunan di Segambut itu dirancang sejak bertahun-tahun lamanya tetapi salah satu syarat kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah keperluan untuk membina sebuah stesen kereta api baharu bagi menghubungkan penduduk dan stesen itu.


"Perbincangan ini mengambil masa selama lima tahun dan beberapa bulan lalu, Hannah meminta MOT untuk melakukan perbincangan semula pemaju dan satu keputusan sudah dimuktamadkan," katanya.


Ditanya mengenai jaminan tiada pertukaran hak milik tanah termasuk kaedah 'land swap' kepada pihak swasta, Anthony menjelaskan terdapat banyak lagi kaedah lebih menguntungkan kerajaan seperti menyewa pada tempoh munasabah yang boleh memberi keuntungan kepada pemaju dan kerajaan.


Dalam pameran berkenaan, RAC akan mempamerkan 10 tapak yang terletak di enam negeri dengan keluasan 369.452 ekar, bernilai RM2.056 bilion ditawarkan dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar sekitar RM 26.194 bilion.


Sumber: Berita Harian


10 tanah kereta api bernilai RM2 bilion ditawar kepada pemaju

17 views

Kommentarer


bottom of page