top of page

Dhaya Maju dapat perintah halang kerajaan, KTMB henti projek


Gambar hiasan (Sumber: Freemalaysiatoday)

KUALA LUMPUR: Syarikat pembinaan, Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd, berjaya memperoleh perintah injunksi sementara menghalang Kerajaan Malaysia dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) daripada mengarahkannya menghentikan projek Fasa 2 Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT2).


Syarikat itu juga berjaya mendapatkan injunksi sementara menghalang dan menahan kerajaan serta KTMB daripada memasuki tapak kerja projek KVDT2 dan mengarahkannya mengosongkan kawasan berkenaan sehingga 10 Disember ini.


Dalam keputusannya pada 2 November lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Lim Chong Fong, turut membenarkan Dhaya Maju mendapatkan injunksi sementara bagi menghalang KTMB daripada membatalkan Pemakluman Milik Tapak (License to Occupy) syarikat itu sehingga tarikh sama.


Mahkamah turut membenarkan permohonan injunksi menghalang KTMB sama ada melalui pekerja atau ejennya memasuki tapak kerja projek selain daripada menjalankan kerja mengikut Kontrak yang Disemak Semula (Revised Contract).


Selain itu, mahkamah membenarkan injunksi yang dipohon oleh syarikat itu bahawa ia dan kerajaan serta KTMB menjalankan pengukuran dan penilaian bersama untuk Projek KVDT2.


Dhaya Maju LTAT pada 27 Oktober lalu memfailkan saman terhadap Kerajaan Malaysia; Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, syarikat perkhidmatan perunding kejuruteraan Opus Consultants (M) Sdn Bhd; dan KTMB sebagai defendan pertama sehingga keempat.


Ia selaku plaintif dalam pernyataan tuntutannya, berkata kerajaan menandatangani Surat Niat bertarikh 12 Mac 2013 untuk penganugerahan Projek KDVT bagaimanapun kemudian memisahkannya kepada dua fasa.


Dhaya Maju LTAT berkata, kerajaan menganugerahkan Surat Award dan Kontrak untuk Projek KVDT1 kepadanya dan sehingga kini ia sudah menyiapkan lebih daripada 87 peratus kerja projek berkenaan.


Ia berkata, selepas itu kerajaan mengeluarkan Surat Niat bertarikh 5 Mei 2017 dan 12 Mac 2018 untuk Projek KVDT2 kepadanya di mana melalui Surat Setuju Terima bertarikh 4 April 2018, Kementerian Pengangkutan menerima tender syarikat dan memberikan Projek KVDT2 dengan jumlah RM5.6 bilion bagi tempoh kontrak tujuh tahun sehingga 3 April 2025.


Menurut plaintif, jumlah Kontrak Asal ditentukan secara bebas melalui Makmal Kejuruteraan Nilai dan Makmal Pengurusan Nilai yang disertai pelbagai agensi kerajaan termasuk wakil Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan, Jabatan Kerja Raya, Unit Perancang Ekonomi, KTMB dan Agensi Pengangkutan Awam Darat.


Katanya, ia dengan segera memulakan kerja KVDT2 selepas Kontrak Asal terbabit dikeluarkan.


Plaintif selanjutnya berkata, pada 19 Oktober 2018, iaitu kurang daripada enam bulan kemudian dan selepas Pilihan Raya Umum ke-14, Kontrak Asal satu pihak itu ditamatkan oleh kerajaan dengan Notis Pembatalan dikeluarkan oleh Setiausaha Kementerian Pengangkutan kononnya atas alasan kepentingan awam dan keselamatan nasional.


Selepas itu, berlaku beberapa pertemuan di antara plaintif dan kerajaan serta sesi Makmal Kejuruteraan Nilai dan Makmal Pengurusan Nilai yang menimbulkan Perjanjian Penyelesaian iaitu kerajaan mengeluarkan Surat Award baharu pelaksanaan projek dalam masa tujuh hari.


Selain itu, Kos Projek KVDT2 dikurangkan menjadi RM4.47 bilion merangkumi kos semua kerja yang dijalankan sebelum pengeluaran Surat Pembatalan.


Plaintif berkata, ia mencabar penamatan Kontrak Asal kerana penamatan itu jelas bukan demi kepentingan orang awam atau negara.


Selaras dengan Klausa 2 Perjanjian Penyelesaian, dan melalui Surat Setuju Terima bertarikh 19 Ogos tahun lalu, plaintif berkata iadianugerahkan kembali Projek KVDT2 dengan Jumlah Kontrak yang Disemak Semula.


Plaintif seterusnya berkata, pada 28 Ogos lalu, Ka Siong melalui kenyataan media mengumumkan bahawa kerajaan akan membatalkan Projek KVDT2 yang dianugerahkan semula kepadanya serta akan membuka semula proses bidaan melalui tender terbuka.


Sehingga kini, katanya notis rasmi penamatan Kontrak yang Disemak semula belum disampaikan kepadanya dan ia sama sekali tidak mengetahui mengenai pembatalan projek itu.


Plaintif juga menulis surat bertarikh 1 September lalu kepada kerajaan untuk membantah pembatalan projek dan meminta Menteri Pengangkutan menimbangkan semula perkara berkenaan.


Sehubungan itu, selain menuntut ganti rugi, plaintif turut memohon perisytiharan bahawa penamatan Kontrak yang Disemak Semula adalah satu pelanggaran Perjanjian Penyelesaian, tidak sah dan menyalahi undang-undang.


732 views

留言


bottom of page