top of page

Yuta Maju Sdn Bhd akan hantar representasi kaji tuduhan kes Bukit Kukus


Tanah runtuh yang berlaku di tapak projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus kendalian MBPP pada 19 Oktober tahun lalu meragut nyawa sembilan pekerja asing dan mencederakan empat orang lagi, manakala seorang lagi hilang. - Arkib NSTP

GEORGETOWN: Kontraktor utama pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus di Paya Terubong, Yuta Maju Sdn Bhd akan mengemukakan representasi kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk mengkaji semula tiga pertuduhan terhadap syarikat itu.


Peguam S Kanesh yang mewakili syarikat berkenaan memaklumkan kepada Hakim Mazdi Abdul Hamid bahawa representasi berkenaan dijangka dihantar kepada AGC dalam tempoh seminggu.


Selain itu, Kanesh turut memohon kepada mahkamah supaya memberi tempoh selama sebulan bagi tarikh sebutan semula kes berkenaan.


Terdahulu, Pegawai Pendakwa dari Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Pulau Pinang Norliza Abu Othman memaklumkan pihaknya sudah menyerahkan semua dokumen kepada pihak peguam, pada 11 Julai lalu dan ia disahkan Kanesh.

Mahkamah kemudian menetapkan pada 21 Ogos depan bagi mendapatkan perkembangan mengenai status representasi bagi ketiga-tiga pertuduhan yang dikemukakan itu.


Pada prosiding di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, Yuta Maju Sdn Bhd diwakili Pengarahnya, Osmera Mamat.


Pada 2 Julai lalu, Yuta Maju Sdn Bhd diwakili Osmera sebagai Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, atas tiga pertuduhan gagal menyediakan prosedur kerja selamat.


Bagi pertuduhan pertama, syarikat itu didakwa gagal menyediakan prosedur kerja selamat bagi aktiviti mengangkat menggunakan kren bergerak sehingga menyebabkan rasuk jatuh di kawasan yang dalam pembinaan pada jam 8.30 malam, 11 Oktober 2018.


Mengikut pertuduhan kedua, syarikat terbabit yang juga pengarah projek jalan berkembar itu didakwa sebagai majikan gagal mengadakan pengiraan kejuruteraan oleh jurutera bertauliah bagi kerja ‘backfill’ atau menampung tanah untuk cerun sementara hingga menyebabkan tanah runtuh pada jam 1.48 petang, 19 Oktober lalu dan mengorbankan sembilan orang.


Bagi pertuduhan terbabit, Yuta Maju Sdn Bhd didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Syarikat yang juga kontraktor dilantik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi projek itu turut didakwa sebagai majikan, gagal melantik pegawai keselamatan dan kesihatan yang kompeten di tempat kerja.


Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 29 (2) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Tanah runtuh yang berlaku di tapak projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus kendalian MBPP pada 19 Oktober tahun lalu meragut nyawa sembilan pekerja asing dan mencederakan empat orang lagi, manakala seorang lagi hilang.


Projek bernilai RM530 juta itu adalah jalan bertingkat alternatif, menghubungkan Lebuhraya Thean Teik di Bandar Baru Air Itam dan Lebuh Bukit Jambul, dijangka siap menjelang Mei 2020.



14 views
bottom of page