top of page

Wujudkan konsortium hab bahan binaan bantu kontraktor Bumiputera


Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Datuk Azman Yusoff. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa membantu kontraktor Bumiputera dengan menyelesaikan isu penguasaan kaum bukan Bumiputera dalam rantaian pembekalan bahan binaan asas.


Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Datuk Azman Yusoff, berkata hampir semua bahan binaan asas seperti simen, batu-bata, peralatan tandas, lampu, penyaman udara, dikuasai bukan Bumiputera.


Katanya, penguasaan rantaian bahan itu menyebabkan kontraktor Bumiputera terpaksa bergantung sepenuhnya kepada pembekal bukan Bumiputera, menyebabkan tiada penawaran harga yang kompetitif, khususnya bagi kontraktor kecil.


Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menerusi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) menyuntik dana bagi mewujudkan hab bahan pembinaan asas bagi kontraktor Bumiputera di setiap zon atau negeri, sekali gus membantu kontraktor Bumiputera mendapatkan bahan itu pada harga yang lebih rendah.



"Ketika ini, jika ada satu kontraktor Bumiputera mendapat tender kerajaan, kira-kira 80 peratus urusan mereka adalah dengan pembekal bukan Bumiputera untuk mendapatkan bahan asas seperti simen, batu-bata dan sebagainya.


"Ertinya, tiada kesaksamaan dari segi kuasa beli bagi kontraktor Bumiputera. Contohnya, jika kontraktor Bumiputera menjaga penyelenggaraan bangunan di Putrajaya, tiada satu pun pembekal Bumiputera untuk lampu, penyaman udara, siling dan sebagainya.


"Bahan tertentu seperti simen pula dimonopoli syarikat bukan Bumiputera tertentu, jadi mereka boleh mengawal turun naik harga sesuka hati.


"Kita tidak sekat hak bangsa lain, cuma saya harap kesaksamaan kuasa beli bagi meringankan beban kontraktor Bumiputera, khususnya yang berstatus kontraktor kecil," katanya kepada BH, hari ini.


Berhubung pelaksanaan hab bahan binaan itu, Azman menawarkan PKBM yang memiliki 4,000 ahli, untuk mewujudkan konsortium yang boleh membeli barangan binaan asas itu secara pukal, sekali gus menjualnya kepada kontraktor Bumiputera yang menjadi anggota konsortium pada harga lebih rendah.


Menerusi kaedah itu, katanya, beliau yakin kontraktor Bumiputera boleh mendapatkan barangan binaan asas pada harga lebih rendah antara 10 hingga 15 peratus.


"Kontraktor Bumiputera boleh berurusan dengan konsortium itu sama ada secara bayaran terus atau jaminan, di mana mereka boleh melunaskannya selepas mendapat bayaran.


"Perkara ini penting kerana jika dilihat inisiatif diumumkan dalam pakej rangsangan ekonomi lebih membantu kaum bukan Bumiputera kerana perkakasan dan pembekalan bahan binaan dikuasai mereka.


"Jika monopoli bahan binaan ini tidak dipecahkan dan tiada bantuan daripada kerajaan, maka orang Melayu dan Bumiputera tidak akan maju dan hasrat menjadikan kaum ini sebagai bangsa usahawan tidak akan berjaya," katanya.



100 views
bottom of page