top of page

Wujud badan khas kendali isu OSH lebih serius


Kemalangan berterusan di tapak pembinaan menunjukkan berkemungkinan ada kelemahan dalam sistem OSH. - Foto BERNAMA

Sebuah jawatankuasa khas peringkat nasional perlu diwujudkan kerajaan bagi menyiasat lebih terperinci, selain menilai tahap keselamatan di semua tapak pembinaan dalam negara.


Isu kemalangan di tapak pembinaan bukan jarang kita dengar. Hampir setiap tahun kita didedahkan dengan isu sama, lantas ia tidak boleh dipandang ringan semua pihak. Ia memberi kesan buruk kepada ramai pihak khususnya pekerja di tapak pembinaan, selain orang ramai yang lalu lalang berhampiran kawasan itu.


Kemalangan di tapak pembinaan tidak sepatutnya berlaku, berikutan negara sudah memiliki pelbagai peruntukkan undang-undang serta prosedur operasi standard (SOP) khusus untuk itu.



Namun, kemalangan berterusan menunjukkan berkemungkinan masih ada kekurangan dan kelemahan dalam sistem kesihatan dan keselamatan pekerjaan (OSH) di negara kita atau mungkin ada faktor lain yang menyumbang kepada kemalangan.


Bagi mengelakkan kejadian sama berulang, wajar serta penting bagi kerajaan mempertimbangkan dengan serius mewujudkan jawatankuasa khas peringkat nasional bagi menyiasat serta menilai tahap keselamatan di semua tapak pembinaan, khususnya yang berisiko tinggi.


Jawatankuasa khas itu boleh dianggotai pihak berkaitan OSH seperti Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kerja Raya, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dan lain-lain sama ada di peringkat persekutuan, negeri atau kerajaan tempatan.


Dengan adanya jawatankuasa khas ini, proses penyiasatan dan penelitian lebih terperinci dapat dilakukan. Melaluinya juga kita lebih mudah mengenal pasti sebarang jenis kelemahan dalam sistem OSH, serta memudahkan proses penambahbaikan dilakukan segera.


Melalui penubuhan jawatankuasa khas itu juga, tinjauan dapat dilakukan terhadap aspek kebajikan setiap pekerja yang di tapak pembinaan.


Perlu diketahui aspek OSH perlu diberi keutamaan semua pihak, sama ada majikan atau pekerja. Semua tempat kerja perlu mematuhi peraturan ditetapkan melalui Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 [Akta 514] yang dikuatkuasakan sejak 1994.


Walaupun semua pihak memainkan peranan dalam memastikan prosedur OSH dipatuhi, majikan memainkan peranan paling utama kerana merekalah ketua di sesebuah tempat kerja.


Seksyen 15(1) dan (2) AKKP 1994 jelas memperuntukkan kewajipan kepada setiap majikan serta setiap orang yang bekerja sendiri untuk memastikan setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja semua pekerjanya.


Melalui akta sama juga, majikan dan pekerja sendiri perlu menyediakan dasar OSH di tempat kerja seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 16. Ini penting supaya pekerja diberi pendedahan, kesedaran serta didikan mengenai langkah perlu diambil bagi menghadapi sebarang jenis isu OSH yang mungkin berlaku.


Kegagalan majikan mematuhi mana-mana peruntukan di bawah AKKP 1994 boleh dikenakan denda RM50,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali, seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 19 akta berkenaan.


Pemeriksaan secara berterusan dan konsisten juga perlu dilakukan penguat kuasa berkaitan ke atas semua kawasan tapak pembinaan, supaya tiada pihak mengambil mudah isu berkaitan OSH yang terbukti boleh membawa impak negatif kepada ramai pihak.



39 views
bottom of page